IPOH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) terbuka mengenai cadangan untuk memperkemaskan kaedah polis menangani permohonan penganjuran perhimpunan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jika ada keperluan penambahbaikan, pihaknya akan melaksanakan perkara itu.

"Pihak polis bertanggungjawab untuk memastikan perhimpunan yang diadakan tidak menyebabkan kesesakan, mengganggu premis dan rumah ibadat serta lokasi strategik, selain aspek keselamatan yang telah disenaraikan dalam akta berkenaan.

"Jadi pihak polis melaksanakan begitu dan pihak penganjur merasakan harus lebih dipermudahkan lagi. Pihak kami terbuka dari segi itu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Menyemai Kasih Rakyat Bersama Menyantuni Penghuni Rumah Seri Kenangan, Ulu Kinta di sini hari ini.

Hari ini, bekas Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Maria Chin Abdullah dilaporkan berkata KDN dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, perlu memperkemaskan kaedah itu bagi memastikan rakyat dapat melaksanakan hak dan kebebasan dalam menganjurkan apa-apa himpunan.



SAIFUDDIN-PERHIMPUNAN 2 IPOH



Maria Chin mengulas laporan media tempatan berhubung jawatankuasa penganjuran Women's March Malaysia 2024 mengecam tindakan polis, yang didakwa enggan menerima notis bagi acara berkenaan mengikut peruntukan akta berkenaan.

Sementara itu, Saifuddin berkata Pasukan Siasatan Khas 3R akan melengkapkan siasatan kes Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, berhubung kenyataan bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan' dengan segera, untuk diserah kepada Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata pihaknya menerima sejumlah aduan berhubung kes itu dan pasukan polis akan menyerahkan kertas siasatan dalam tempoh tujuh hari.

"Sekiranya Peguam Negara berpendapat hasil kertas siasatan itu belum mencukupi untuk mengukuhkan proses pendakwaan, jadi mereka akan pulangkan untuk pasukan polis buat beberapa penambahan," katanya.

Beliau berkata proses siasatan kes itu diserahkan sepenuhnya kepada pasukan polis mengikut prosedur dengan elemen kesegeraan.



SAIFUDDIN-PERHIMPUNAN 3 (AKHIR) IPOH



Razarudin dilaporkan berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Abdul Hadi, yang disiarkan di portal berita milik parti itu pada 20 Feb lepas, yang didakwa ditujukan kepada beberapa pihak termasuk Raja-Raja Melayu.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi, yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin Datuk Muhamad Munir Bani memaklumkan Sultan Sharafuddin, menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), pada 15 Feb lalu.

Susulan itu, baginda berkenan mengutus surat kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor Datuk Dr Ab Halim Tamuri.

Surat lima halaman itu juga menyebut, kenyataan Abdul Hadi bukan saja mengelirukan, malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

-- BERNAMA