Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan bahawa Perintah Larangan Penerbitan terhadap buku 'Ultraman The Ultra Power', diwartakan kerana kandungan buku itu menyamakan watak Ultraman King sebagai “Allah”.

Namun demikian, KDN menjelaskan bahawa watak Ultraman tidak haram tetapi yang dikenakan Perintah Larangan adalah edisi (Ultraman The Ultra Power) sahaja.

KDN berkata Perintah Larangan terhadap bahan penerbitan ini disebabkan watak Ultraman menjadi idola kepada kanak-kanak yang boleh mengelirukan pemikiran kanak-kanak terhadap sifat “Allah” yang disamakan dengan Ultraman King.

“Kalimah Allah merupakan kalimah suci bagi umat Islam di Malaysia. Kalimah Allah juga merupakan kalimah yang sensitif dan boleh mencetuskan provokasi bagi umat Islam sekiranya disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Jika perkara ini tidak dibendung. Ianya boleh memudaratkan ketenteraman awam dan boleh menggemparkan fikiran orang ramai.

“Perkara ini dibimbangi boleh merosakkan akidah anak-anak umat Islam dengan menyamakan “Allah” dengan Ultraman,” kata KDN di dalam satu kenyataan.

Isu kalimah Allah menimbulkan kontroversi apabila pada 16 Febuari 2009, Gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden, memohon diisytiharkan keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam The Herald adalah tidak sah.

Majalah mingguan itu, diterbitkan dalam empat bahasa, dan telah menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam seksyen bahasa Melayunya.

Pada 31 Disember 2009 Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 6 Januari 2010, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh The Herald, berikutan persetujuan KDN dan Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia bagi kepentingan negara.

Pada 14 Oktober 2012, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah.

Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.

Pada 11 November 2013, gereja Katolik memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 26 soalan mengenai undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).

Pada 5 Mac 2014, Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan pendengaran permohonan Gereja Katolik bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa The Herald dilarang menggunakan kalimah Allah.

Bernama, pada Khamis melaporkan bahawa KDN mewartakan Perintah Larangan Penerbitan terhadap buku terbitan Resign Publications itu kerana ia didapati mengandungi unsur-unsur yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam.

Warta larangan itu berkuat kuasa pada 18 Februari lepas mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Adalah menjadi satu kesalahan mengikut subseksyen 2 Seksyen 8 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam miliknya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan," menurut laporan itu.

Mereka yang disabitkan melakukan kesalahan itu boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Ekoran laporan tersebut, spekulasi bahawa menyamakan watak adiwira itu dengan nama Allah adalah alasan perintah larangan ke atas buku itu, hangat disebarkan di laman media sosial dan beberapa blog.