KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihati lebih berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 ketika mengunjungi kawasan tumpuan umum.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata antara kawasan tumpuan umum itu termasuk bazar Ramadan dan pasar malam.

Ujarnya, berdasarkan pemerhatian di media sosial mahupun media arus perdana, ada beberapa kawasan tumpuan umum yang gagal memenuhi SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sektor yang penjarakan fizikal hampir mustahil untuk berlaku ataupun susah untuk dilakukan seperti di bazar Ramadan atau pasar malam seperti yang dilaporkan di media sosial dan media arus perdana.

"Kita lihat ada bazar yang sesak, namun saya tidak nafikan ada yang ikut SOP yang betul...kesesakan yang tidak melampau tapi ada tempat yang melaporkan kesesakan.

"Sebenarnya sektor-sektor ekonomi ini amat perlu untuk dibuka kerana berlaku transaksi (perniagaan), selain menaikkan semula ekonomi negara yang telah teruk terjejas sebelum ini, kita harus menjaga kesihatan dan melindungi diri kita daripada dijangkiti," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

COVID-19 | Ancaman gelombang ke-4 COVID-19 di Malaysia


Mengulas lanjut, beliau menegaskan, kawalan kendiri dalam usaha mencegah jangkitan COVID-19 perlu terus diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

"Kita sebagai rakyat, kita haruslah berusaha dengan memberi kerjasama yang bagus dengan mengikut SOP.

"Jika kita lihat, satu kawasan itu seperti pasar malam yang terlampau sesak kita hendaklah tidak pergi ke situ.

"Memang betul ada sistem, ada ambil giliran beratur dan sebagainya, tetapi di kala beratur, itu pun boleh memungkin kita mendapat jangkitan (COVID-19)," katanya.

Beberapa negeri sebelum ini telah memutuskan untuk menutup bazar Ramadan dan Aidilfitri sekiranya gagal mematuhi SOP yang ditetapkan MKN.