Sebanyak 487 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan di Perak setakat 8 pagi ini berbanding 467 mangsa malam tadi, lapor agensi berita Bernama.

Daripada jumlah itu, 218 mangsa ditempatkan di daerah Manjung - 208 di Sekolah Rendah Agama Rakyat, 10 di Dewan Kampung Tanjung Ara - menurut Jabatan Kemajuan Masyarakat melalui portal infobanjir.

Sementara di daerah Hilir Perak, 100 mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong Batu 8, Teluk Intan, 97 mangsa di SK Sungai Kerawai dan 31 mangsa di SK Pengkalan Ara.

Bagi daerah Larut Matang dan Selama, seramai 41 mangsa ditempatkan di Surau Padang Serai Dalam.

Sementara itu di Kelantan, hanya 140 mangsa banjir dilaporkan masih ditempatkan di empat pusat pemindahan di jajahan Kuala Krai setakat 9 pagi ini.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi infobanjir, mereka terdiri daripada 34 keluarga, berbanding 37 keluarga (154 mangsa) malam tadi.

Jumlah mangsa yang berkurangan berbanding malam tadi itu adalah berikutan pusat pemindahan banjir di Tanah Merah ditutup sepenuhnya pagi ini.

Laman sesawang kerajaan negeri ebanjir.kelantan.gov.my mencatatkan hanya Sungai Golok di Rantau Panjang yang masih melepasi paras bahaya iaitu 9.42 meter (paras bahaya 9 meter) sementara sungai utama yang lain menunjukkan trend penurunan kepada paras berjaga-jaga dan normal.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir yang melibatkan tujuh daerah di negeri itu berkurangan kepada 6,354 orang pagi ini berbanding 7,187 orang malam tadi.

Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pahang, Zainal Yusoff berkata setakat 8 pagi ini, Temerloh mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,970 orang daripada 746 keluarga.

Ia diikuti Lipis dengan 934 orang daripada 261 keluarga, Jerantut 776 orang (258 keluarga), Bera 573 orang (134 keluarga), Maran 468 orang (135 keluarga), Pekan 414 orang (112 keluarga) dan Rompin 219 (53 keluarga).

Jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi meningkat sedikit daripada 105 malam tadi kepada 108 pusat sehingga pagi ini dengan daerah Temerloh paling banyak iaitu 41 buah, Maran (16), Pekan (15), Bera (13), Lipis (11), Jerantut (8) dan Rompin (4).

Di Sarawak pula, Bernama melaporkan jumlah mangsa banjir di daerah Beluru, Miri kekal dengan 1,828 mangsa setakat pukul 9 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), Mejar Ismail Mahedin dilaporkan berkata jumlah tersebut terdiri daripada 223 keluarga daripada lapan buah rumah panjang.

Ismail berkata, selain Miri, Sri Aman turut dilanda banjir kilat malam pada kira-kira 9.30 malam semalam, mengakibatkan 12 orang dari dua buah rumah di Engkeramut.

Ia dilaporkan surut pada 10.20 malam.