KUALA LUMPUR: Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) menjadi antara agenda penting Kerajaan MADANI bagi merombak serta melonjak pembangunan sosioekonomi bumiputera secara menyeluruh supaya berkembang maju secara progresif dan inovatif, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Ekonomi Bumiputera hari ini bagi membincangkan dengan teliti kerangka perjalanan KEB 2024.

"Selari dengan konsep dasar dan penyertaan yang merentasi dimensi kaum, mesyuarat hari ini turut mendengar pandangan daripada wakil-wakil Dewan Perniagaan Melayu, Cina, India dan juga Bumiputera Sabah dan Sarawak.

"Menjadi harapan kerajaan supaya kongres ini berjaya mengumpul idea-idea bernas dan menjadi titik tolak kepada perencanaan Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera untuk tempoh 10 tahun akan datang," kata beliau dalam hantaran di Facebook.

KEB 2024 dijadualkan berlangsung dari 29 Februari hingga 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dijangka mencungkil potensi teknologi dan peluang baharu bidang ekonomi bagi memperkasakan bumiputera di negara ini.

-- BERNAMA