KUALA LUMPUR: Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang dijadualkan pada akhir bulan ini akan bersifat lebih inklusif dengan penyertaan masyarakat Cina dan India.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil sikap terbuka dalam menangani beberapa isu bersama walaupun kongres itu memberikan tumpuan kepada masalah dihadapi Bumiputera.

Beliau menegaskan, kongres itu tidak akan mempertahankan masalah salah guna atau tumpuan kepada kroni atau keluarga tertentu, sebaliknya kesediaan untuk mengemukakan cadangan baharu.

"Pendekatan kita dalam hal Kongres Ekonomi Bumiputera lebih inklusif. Maknanya kita mahu penyertaan daripada masyarakat Cina dan India.

“Saya harap ACCIM (Gabungan Dewan Perniagaan dan Dewan Perindustrian Cina Malaysia) bersedia berbincang kerana pendekatan kita inklusif.

“Maknanya dalam membicarakan ekonomi bumiputera, ada isu-isu SME (Perusahaan Kecil dan Sederhana) atau kelompok India miskin akan kita tangani bersama, jadi pendekatan agak berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini pada Khamis.

Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dijadual pada 29 Februari sehingga 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan tumpuan kepada 10 kluster utama.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan kerajaan akan meneruskan program pembasmian miskin tegar dalam negara tanpa mengira kaum.

"Jangan ada isu racial profiling (membezakan kaum) sama ada keluarga Melayu, Cina dan India.

"Begitu juga kalau kita bercakap peluang perniagaan terutama peniaga kecil bumiputera, peluang bagi orang India atau pemain-pemain kecil masyarakat Cina, tempat perniagaan, gerai mereka, itu kita harus tumpu sebagai program dan agenda nasional.

“Sebab itu saya hendak supaya penyertaan dalam kongres ini bukan sahaja daripada Bumiputera tetapi daripada syarikat-syarikat Cina," ujarnya.

Menurutnya, program pembasmian miskin tegar di tiga negeri iaitu Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan telah mencapai status 100 peratus.