PUTRAJAYA : Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) bakal menjadi dasar untuk menjamin  penglibatan dan hak Bumiputera dalam agenda ekonomi negara, selain memastikan wujudnya kesalingan atau sinergi dengan bukan Bumiputera.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 menegaskan, dasar itu berbeza dengan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang lahir daripada KEB pertama dan kedua pada era 60-an dahulu.

Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga, TEB bertunjangkan pada tiga teras utama iaitu: Keadilan Sosio-Ekonomi; Kemampanan Negara Bangsa; Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.

“Ketiga-tiga matlamat utama ini bagi memastikan, dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara, bukan sahaja menjamin penglibatan dan hak Bumiputera tetapi pada masa yang sama memastikan wujudnya kesalingan atau sinergi dengan bukan Bumiputera.

“Mahu atau tidak, rela atau tidak, kesalingan antara kaum amat penting dalam memugar aktiviti ekonomi negara.  Bertitik tolak daripada hasrat DEB yang tidak mahu lagi aktiviti ekonomi dikaitkan dengan identiti kaum, hari ini tembok itu telah pun berjaya diruntuhkan.

“Kaum Bumiputera tidak lagi sinonim dengan usaha tani, Cina bukan lagi mendominasi gelaran saudagar begitu juga dengan kaum India, tidak lagi berlegar di perladangan,” katanya ketika berucap merasmikan KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, pada Khamis.

Bertemakan Positif, Progresif dan Inovatif, KEB 2024 berlangsung selama tiga hari bermula Khamis merupakan anjuran Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Dalam ucapan itu juga, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, melalui TEB, kerajaan mahu memastikan  penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam sektor ekonomi dapat diperkasakan. 

Katanya lagi, dasar itu juga juga bertujuan memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dalam menyertai peluang-peluang ekonomi dan teknologi baharu, di samping turut serta membesarkan kek ekonomi negara.

“Dalam aspek pendidikan, kini masanya untuk kita memecahkan belenggu pemikiran kalangan Bumiputera bahawa bidang kemahiran bukanlah pilihan kedua tetapi sebaliknya menjadi pilihan utama industri. 

“Memperkasa modal insan melalui bidang kemahiran juga penting bagi mempersiapkan generasi Bumiputera sebagai tenaga kerja yang kompeten untuk bersaing di pasaran buruh yang semakin kompleks,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid optimis usaha tersebut mampu meningkatkan peratusan pekerja mahir Bumiputera yang kini berada pada tahap 29.1 peratus berbanding kaum-kaum lain, selain menjamin akses terhadap pekerjaan yang memberikan pendapatan yang lebih munasabah dan stabil di dalam meningkatkan taraf hidup mereka.