PUTRAJAYA : Kerjasama ekonomi di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera telah wujud sejak zaman Dasar Ekonomi Baharu (DEB), namun, sebahagian jalinan itu masih boleh dipertikaikan ketulenannya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Kongres Ekonomi Bersatu (KEB) 2024 itu berkata, melalui Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB), aktiviti ekonomi hanya atas nama Bumiputera sahaja sepatutnya tidak lagi dibenarkan untuk wujud.

Beliau lebih cenderung untuk melihat Ali dan Baba yang benar-benar berfungsi melaksanakan aktiviti perniagaan, serta Ali dan Baba yang terlibat dengan pengurusan, pentadbiran dan pelaksanaan perniagaan.

“Bukannya ‘Ali Baba’ yang memanipulasi peluang dan mengambil jalan mudah mengambil mengaut keuntungan. Tindakan seumpama ini pada akhirnya menyukarkan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penguasaan Bumiputera dalam sektor ekonomi.

“Selain itu, tindakan kelompok Bumiputera sebegini tidak mencerminkan bentuk kekayaan dan pemilikan sebenar,” katanya lagi, sewaktu menyampaikan ucaptama sempena B KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, pada Khamis.

Bertemakan Positif, Progresif dan Inovatif, KEB 2024 berlangsung selama tiga hari itu merupakan anjuran Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, bagi mengekalkan pemilikan tanah Bumiputera yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan, beliau mencadangkan agar diwujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera. 

“Perbadanan itu bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah Bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

“Adalah disyorkan, semua tanah-tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi  kawasan  pertanian  ataupun plot-plot industri yang melebihi 20 ekar, apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan, 20 peratus  daripada tanah berkenaan hendaklah diserahkan semula kepada kerajaan dan diurus tadbir melalui perbadanan ini.

“Penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera merupakan langkah proaktif untuk menjamin keseimbangan demografi kaum; kelangsungan kawasan usaha Bumiputera  bagi  tujuan pertanian, perindustrian dan penempatan baharu; dan usaha tambahan mengekalkan pemilikan Bumiputera,” katanya lagi.

Ahmad Zahid juga optimis tindakan itu dapat memberi pulangan dan peluang yang lebih besar kepada Bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara.

Katanya lagi, melalui perancangan teliti dan strategik juga, setiap kawasan usaha diharapkan  memberi  manfaat  maksimum  kepada  komuniti  Bumiputera, mencipta kelestarian ekonomi yang berterusan.