Skip to main content

Malaysia

Kebakaran hutan Puncak Jalil dipadam sepenuhnya

Sumber: Astro AWANI
Kebakaran hutan bukit di kawasan Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan yang sebelum ini dilaporkan melibatkan hampir satu hektar akhirnya berjaya dipadam sepenuhnya pada awal pagi Khamis.

KUALA LUMPUR: Kebakaran hutan bukit di kawasan Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan yang sebelum ini dilaporkan melibatkan hampir satu hektar akhirnya berjaya dipadam sepenuhnya pada awal pagi Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, operasi pemadaman ditamatkan pada jam 3.48 pagi selepas kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya.

Advertisement

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.12 petang Rabu sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.

"Pada peringkat awal, kebakaran hutan bukit berhampiran Plaza Tol Putrajaya di Lebuhraya KL–Putrajaya (MEX) dianggarkan melibatkan kawasan sekitar dua ekar atau hampir satu hektar.

"Bagaimanapun, kebakaran terus merebak sepanjang operasi pemadaman sehingga melibatkan keluasan keseluruhan kira-kira 37 ekar," katanya dalam satu kenyataan.

Operasi pemadaman melibatkan anggota dari BBP Seri Kembangan dengan bantuan BBP Cyberjaya, BBP Puchong, BBP Jalan Penchala dan BBP Subang Jaya.

"Kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki, dua pancutan pam jentera serta peralatan pemukul api (firebeater) bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.

"Operasi turut dibahagikan kepada enam sektor utama bagi memudahkan kawalan di kawasan berbukit yang sukar diakses, selain bantuan unit dron untuk pemantauan dari udara," jelasnya lagi.

Seramai 27 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan dan kebakaran dilaporkan tidak melibatkan sebarang mangsa atau kerosakan struktur.

JBPM Selangor memaklumkan pemantauan susulan akan dilakukan di lokasi bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan semula api.

Must Watch Video