NATIONAL
Kebakaran paip gas Putra Heights: Kawasan selamat untuk mulakan proses pemulihan - Polis

Wan Azlan berkata, sebanyak 115 kediaman juga akan dinilai tahap keselamatannya pada Khamis oleh TNB, jika bekalan elektrik boleh disambung semula ke rumah-rumah terlibat. - Gambar fail/Bernama
SUBANG JAYA: Kawasan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights disahkan selamat untuk memulakan proses pemulihan selepas pihak Petronas tidak lagi mengesan kewujudan gas di salah satu saluran paip yang terjejas.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, sebanyak 115 kediaman juga akan dinilai tahap keselamatannya pada Khamis oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), jika bekalan elektrik boleh disambung semula ke rumah-rumah terlibat.
"Pemantauan oleh Petronas setakat semalam dan hari ini sudah tiada (gas dikesan). Pihak Petronas beritahu kawasan ini telah selamat untuk kita memulakan proses-proses pemulihan buat setakat ini.
"Seperti saya maklum semalam, pihak bomba ada kesan kebakaran kecil di rumah-rumah ini mungkin disebabkan bara yang masih ada lagi dalam struktur rumah dan sebagainya."Namun, pagi tadi tiada lagi dan pihak bomba akan bersiap sedia selama 24 jam di tempat ini jika ada kemungkinan-kemungkinan kebakaran," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian di sini, pada petang Rabu.
Jelas beliau lagi, setakat Rabu petang, seramai 150 penduduk di semua lorong di taman terbabit telah dibenarkan memasuki kediaman masing-masing untuk mengambil barangan peribadi dan dokumen penting, dengan pemantauan daripada pihak berkuasa.
Wan Azlan menambah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) juga sedang menilai sampel-sampel tanah bagi mengetahui punca kejadian letupan tersebut.
Katanya, kerja-kerja tersebut termasuk meliputi tahap integriti paip yang berlaku letupan dan dua lagi saluran paip berdekatan.
"Mereka juga mengkaji prosedur-prosedur pemasangan saluran ini dan InsyaAllah, DOSH akan keluarkan (hasil laporan) mengenai punca kejadian," jelas beliau.
Sementara itu katanya, seramai 393 mangsa daripada 99 keluarga yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights ditempatkan di dua PPS, setakat malam ini.
"Angka ini berkurangan berbanding 529 mangsa yang direkodkan pada jam 11 pagi tadi. Pada waktu ini, seramai 485 orang daripada 110 keluarga ditempatkan di Dewan Masjid Putra Heights, manakala 44 individu daripada lapan keluarga berlindung di Dewan Serbaguna MBSJ (Camelia)," ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami