MALAYSIA
Kebakaran stor minyak enjin: Tiada bacaan ammonia dikesan

Sebanyak lima premis terbakar dalam kejadian melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi itu termasuk 15 kenderaan turut musnah. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor tidak mengesan sebarang bacaan bagi parameter ammonia di semua lokasi pemantauan sekitar kawasan kebakaran stor penyimpanan lori dan minyak enjin di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri, Masai di sini pagi tadi.
Pengarah JAS Johor Mohd Famey Yusoff berkata lokasi itu termasuk pos kawalan bomba yang mencatatkan bacaan ammonia tidak berbahaya pada pemantauan yang dilakukan malam tadi.
Beliau berkata pemantauan yang bermula 10 pagi tadi turut membabitkan Sekolah Kebangsaan Seri Kota Puteri, Makmur Maju Logistic Sdn Bhd dan Jalan Cenderai 27 di sini.
"Hasil pemantauan kualiti udara di semua lokasi berhampiran kawasan kebakaran, (juga mendapati) tiada sebarang bacaan bagi parameter gas dan Volatile Organic Compound (VOC) dikesan," katanya dalam kenyataan hari ini.Komander Operasi Kanan, Ketua Zon 1 Johor Penguasa Kanan Bomba I Zaipulbahri Mat Rusok dilapor berkata operasi pemadaman di Divisyen 1 susulan kebakaran di stor penyimpanan itu selesai 4 pagi tadi.
Beliau bagaimanapun berkata kerja pemadaman di Divisyen 2 di lokasi kejadian masih diteruskan kerana menghadapi kesukaran berikutan halangan tong minyak yang besar dan banyak, sekali gus menyukarkan akses anggota bomba membuat pemadaman.
Sebanyak lima premis terbakar dalam kejadian melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi itu termasuk 15 kenderaan turut musnah.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.54 tengah hari dan sebanyak 34 anggota serta aset daripada beberapa balai bomba termasuk pasukan sukarela dikejarkan ke lokasi kejadian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami