NIBONG TEBAL: Sebanyak 10 buah sekolah yang berada berdekatan dengan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram yang terbakar diarahkan tutup sementara bermula 19 hingga 21 Januari ini.

Sepuluh sekolah berkenaan adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong; SJKT Nibong Tebal; Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa; SK Keledang Jaya; SJKT Ladang Changkat; SMK Methodist, SK Methodist dan SK Nibong Tebal.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Selatan (KPPDS), Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Bencana Daerah pada Isnin.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas mendapati indeks udara di kawasan sekolah terbabit dalam lingkungan radius 10 kilometer (km) berada pada tahap AEGL 3 (Acute Exposure Guidelines Level) iaitu kepekatan udara yang memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk.

"Hasil daripada keputusan mesyuarat tersebut, maka kita memberi kebenaran kepada 10 sekolah yang berkenaan untuk menutup sesi persekolahan bermula 19 hingga 21 Januari ini.

"Pihak Pejabat Pendidikan Daerah Selatan (PPDS) akan memaklumkan selewat-lewatnya pada Sabtu ini tentang status pengoperasian sekolah semula berdasarkan keputusan dan nasihat dari Jawatankuasa Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, dalam tempoh penutupan operasi tersebut, murid-murid akan melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Pihak sekolah diminta untuk memaklumkan kepada guru-guru dan ibu bapa tentang perkara itu. Selain itu, pihak sekolah juga diminta supaya memaklumkannya kepada pengusaha kantin, pengusaha bas dan pihak-pihak lain yang berkaitan untuk tindakan persediaan awal.

"Pihak sekolah turut diminta menyediakan petugas pada pagi Rabu bagi menguruskan murid sekiranya mereka hadir disebabkan tidak menerima maklumat penutupan ini.

"Sepanjang tempoh itu juga, warga sekolah diminta untuk memakai pelitup muka, mengurangkan aktiviti luar dan sekiranya tidak sihat, segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan," katanya.

Pencemaran Udara | 86 keluarga di Nibong Tebal diminta pindah ke PPS


Dua hari lalu, kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini akan dipindahkan sementara atas faktor keselamatan.

Tindakan itu diambil susulan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati, udara di kawasan itu mengandungi gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

Pada 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung, Nibong Tebal terbakar dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.

Anggaran keluasan tapak pelupusan adalah 16.2 hektar namun anggaran kawasan yang terbakar berkeluasan 6.5 hektar.

Pulau Burung | Hanya 7 peratus kebakaran berjaya dipadamkan


*Berita asal di Sinar Harian