KUALA LUMPUR: Keberkesanan analitik data raya (BDA) dalam sektor perumahan bergantung pada pencapaian hasil lebih baik dan padanan lebih rapat antara bekalan dengan keperluan isi rumah serta disokong pembaharuan struktur, data bersepadu dan perancangan yang kukuh.
Bagi mengukur hasil itu, Timbalan Pengarah Eksekutif Akademik dan Hal Ehwal Pelajar Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) Dr Muhammad Danial Azman mencadangkan pengenalan “kad skor ketidakpadanan perumahan”.
“Petunjuk prestasi utama (KPI) sebenar bagi BDA seharusnya diukur berdasarkan berapa banyak keputusan perumahan yang lebih baik dapat dibuat hasil daripada data tersebut,” katanya kepada Bernama.
Muhammad Danial, yang juga pakar dasar awam Universiti Malaya (UM) berkata Malaysia boleh mengalami keadaan “terlalu banyak rumah” dan “kekurangan perumahan” secara serentak apabila unit yang tersedia tidak sepadan dengan kemampuan isi rumah atau lokasi yang mereka perlukan.
Beliau berkata BDA mesti membezakan antara keperluan dan pilihan perumahan serta kapasiti kewangan yang efektif.
Carian hartanah dalam talian atau pernyataan minat, menurut beliau tidak sepatutnya dianggap sebagai permintaan kukuh tanpa mengambil kira pendapatan, kelayakan pinjaman, penjagaan anak, pengangkutan dan perbelanjaan penting yang lain.
“Jika sistem menganggap minat dalam talian sebagai permintaan sebenar, penggubal dasar dan pemaju mungkin menerima isyarat yang salah,” katanya dan menambah data juga mesti merangkumi keluarga berpendapatan rendah yang mungkin tidak menghasilkan data carian hartanah disebabkan kekangan kewangan.
Selain itu, Muhammad Danial berpandangan sistem BDA perlu dikemas kini secara berterusan merangkumi data pergerakan penduduk, pendapatan, pekerjaan, trend sewaan, transaksi hartanah, kelulusan perancangan, kebolehcapaian pengangkutan dan pelaburan utama.
“Data perumahan sepatutnya berfungsi lebih seperti (aplikasi) Waze berbanding peta jalan bercetak, sentiasa mengesan keadaan yang berubah-ubah dan membantu penggubal dasar mengira semula laluan apabila perlu,” katanya.
Sementara itu, penyelidik Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Ahmad Farhan berkata walaupun BDA boleh membantu merapatkan jurang maklumat, teknologi sahaja tidak akan menyelesaikan isu lambakan hartanah atau masalah kemampuan di negara ini.
Ahmad daripada Program Dasar Sosial dan Integrasi Nasional ISIS berkata data sedia ada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) memberikan gambaran umum mengenai transaksi pasaran, jenis hartanah dan permintaan mengikut lokasi.
Beliau mencadangkan agar data itu disepadukan dengan trend demografi, kapasiti pembiayaan, unjuran saiz isi rumah dan permohonan untuk program perumahan sosial serta mampu milik bagi membantu mengenal pasti isi rumah yang memerlukan bantuan termasuk mereka yang mungkin tidak layak mendapat pembiayaan formal.
Ahmad berkata pemaju sepatutnya didorong untuk membina lebih banyak rumah mampu milik berhampiran hab transit dan pusat daerah perniagaan berbanding di kawasan pinggiran kerana kekurangan akses kepada kemudahan dan tempat kerja menambah perbelanjaan harian rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup.
Beliau mencadangkan supaya NAPIC dipertimbangkan untuk berperanan sebagai tadbir urus pusat bagi memastikan maklumat perumahan dikumpul dan dikemas kini secara berkala.
Selain itu, kerjasama lebih erat antara NAPIC dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menurut beliau perlu untuk mengintegrasikan maklumat perumahan dengan data mengenai perbelanjaan isi rumah, kesejahteraan dan penggunaan pengangkutan awam.
“Menjadikan data lebih mudah difahami boleh membantu memberi maklumat kepada pengguna selain memastikan penilaian bebas terhadap penemuan data,” katanya.
Ahmad berkata akses kepada analisis dapat membantu majlis tempatan membuat keputusan pengezonan dan pembangunan yang selaras dengan rancangan struktur negeri dan Dasar Perumahan Negara.
Menurut NAPIC, sebanyak 32,801 unit kediaman siap bernilai RM16.37 bilion kekal tidak terjual di seluruh negara pada suku pertama 2026.
Pada Isnin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan sistem BDA bermula tahun hadapan bagi memastikan pembangunan perumahan lebih menepati keperluan dan permintaan rakyat.
-- BERNAMA