PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka menjalankan kajian komprehensif terhadap Dasar Gaji Progresif (DGP) pada hujung tahun ini atau awal tahun depan bagi menilai keberkesanan pelaksanaannya dalam meningkatkan pendapatan pekerja serta produktiviti.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata penilaian itu akan memberi tumpuan kepada kaedah pelaksanaan dasar berkenaan termasuk keberkesanan insentif kerajaan serta komitmen majikan dalam meningkatkan gaji pekerja.
Menurut beliau, peningkatan pendapatan pekerja perlu berlaku seiring dengan peningkatan produktiviti melalui latihan dan pembangunan kemahiran yang tersusun.
“Dalam komitmen Dasar Gaji Progresif, kita tetapkan bahawa insentif itu perlu datang bersekali dengan produktiviti.
“Produktiviti itu perlu dibentuk sama ada dalam bentuk latihan ataupun pendedahan yang perlu disusun. Komitmen ini kena datang bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Himpunan Bulanan Kementerian Ekonomi bagi September yang memberi fokus kepada isu gaji dan kesejahteraan pekerja.
Akmal berkata Dasar Gaji Progresif kini sedang dilaksanakan dan tempoh pelaksanaannya dijadual berakhir pada penghujung tahun 2027.
Sehubungan itu, katanya, kajian keberkesanan perlu dilakukan bagi memastikan insentif yang diberikan kerajaan benar-benar mendorong majikan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan produktiviti pekerja.
“Tidak boleh, sebagai contoh, insentif itu disalurkan tetapi majikan tidak mengambil tindakan yang seterusnya untuk meningkatkan produktiviti.
“Jadi sebab itu, dasar itu sedang dilaksanakan dan keberhasilannya kita akan teliti dalam kajian pada hujung tahun ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa objektif utama dasar tersebut bukan sahaja meningkatkan pendapatan pekerja, malah mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih mampan dan berdaya saing melalui peningkatan kemahiran serta produktiviti tenaga kerja.