Kejadian kecurian lembu yang didakwa berlaku di Kampung Chabang, Kemaman oleh sekumpulan lelaki sehingga tular di laman Facebook hanya salah faham.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata pihaknya difahamkan enam lelaki terbabit merupakan pekerja kontraktor Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT 2).

Menurut Mohd Said, kontraktor berkenaan telah diamanahkan untuk menangkap haiwan ternakan penduduk yang berkeliaran di lebuh raya tersebut bagi mengelakkan kes kemalangan melibatkan haiwan ternakan.

Katanya, salah faham itu timbul apabila penduduk terlihat kumpulan terbabit dalam keadaan yang mencurigakan pada kira-kira jam 11 malam sebelum bertindak menahan pekerja terbabit.

Penduduk yang berang berikutan haiwan ternakan mereka sering hilang kemudiannya memeriksa van yang dinaiki mereka dan melihat ada seekor lembu di dalam van sebelum memukul kumpulan lelaki tersebut.

Mohd Said turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam menghukum pesalah atau boleh berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Pada Sabtu, tular gambar yang memaparkan kumpulan individu yang ditahan penduduk kampung kerana didakwa mencuri lembu.

Menurut Mohd Said, sehingga kini pihaknya belum menerima laporan berkaitan kes tersebut.