KUALA LUMPUR:Kedah mengekalkan harapan untuk beraksi di Piala AFC 2021 selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, di sini malam tadi.

Turun selaku pasukan tuan rumah, gol tunggal skuad Hijau Kuning dijaringkan oleh Muhammad Shakir Hamzah pada minit ke-19, yang menanduk masuk tendangan sudut pemain import dari Ivory Coast, Kipre Tchetche.

Kedua-dua pasukan saling melakukan serangan bertali arus sehingga akhir perlawanan, namun tiada sebarang jaringan dihasilkan sehingga wisel penamat.

Kemenangan semalam menyaksikan Kedah melonjak ke tempat kedua carta liga dengan 19 mata, iaitu tujuh mata ketinggalan di belakang juara Johor Darul Ta'zim (JDT), diikuti Perak (18) di tempat ketiga dan Terengganu (16).

Kedah dan Perak bakal meneruskan perebutan slot Piala AFC sehingga aksi terakhir liga, apabila kedua-dua pasukan bertembung pada Sabtu ini di Stadium Perak.

JDT telah pun mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara AFC 2021 selepas meraih kejuaraan Liga Super ketujuh berturut-turut pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA