ALOR SETAR: Kedah akan membangunkan jambatan darat atau 'land bridge' di kawasan Sanglang, Kubang Pasu sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi global 2040.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri sudah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara itu dan bercadang meluluskan projek pelabuhan laut yang bersambungan ke Songkhla melalui Segenting Kra, Thailand.

Menurutnya, projek berkenaan dijangka membabitkan keluasan tanah seluas sekitar 1,600 hektar.

“Kita akan beroleh rahmat daripada projek jambatan darat Kedah-Songkhla kerana ia bermula dengan pelabuhan yang akan dibina di Kedah.

“Projek ini akan beri kesan positif dari aspek infrastruktur selain bakal membawa limpahan ekonomi kepada rakyat negeri ini.

"Difahamkan, laluan jalan ke pelabuhan dari pinggir pantai untuk dibangunkan pelabuhan itu libatkan kawasan seluas 1,600 hektar untuk laluan jalan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Tokai) berkaitan persediaan Kedah apabila Selat Melaka sudah tidak menjadi pilihan utama sekiranya rancangan Thailand membina pelabuhan dan jambatan darat dengan usahasama China berjaya dilaksanakan.

Sanusi berkata, jambatan darat berkenaan akan memendekkan laluan pengangkutan barang dagangan di seluruh dunia yang akan melalui Kedah.

“Kedah akan jadi hab pelabuhan pengangkutan selain adanya Lapangan Terbang Antarbangsa Kulim (KXP) atau Kedah Aerotropolis di Sidam, yang akan dibangunkan dengan pembiayaan swasta sepenuhnya, sama seperti Pelabuhan Sanglang,” ujarnya.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku maklum balas negatif selepas pengumuman tersebut berikutan politik kuno masih diamalkan pihak tertentu.

“Politik kuno ini tak boleh tengok orang lebih daripada mereka, akan mula timbulkan masalah tapi projek ini bukan untuk kepentingan Kedah saja, ia juga beri impak besar kepada negara.

"Selain Sanglang, kita juga akan ada lapangan terbang kargo di Sidam. Saya dengar ada berita gembira akan datang, dalam mesyuarat menteri besar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu, saya bangkitkan perkara ini,” katanya.

Sanusi yakin kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan projek jambatan darat di Sanglang dan akan diberikan kelulusan.

“Sesuai dengan keadaan fiskal negara yang kurang memberangsangkan, adalah lebih baik sektor swasta diberikan peluang membangunkan projek berkenaan untuk bantu pembangunan negara dan ekonomi,” jelasnya.

Beliau juga berharap Perdana Menteri mempertimbangkan pelaksanaan projek KXP kerana ia dibangunkan dan dibiayai oleh pihak swasta sepenuhnya.

“Kedah akan mendapat rahmat daripada kedua-dua projek berkenaan sekali gus dapat mencapai sasaran dalam The Greater Kedah,” katanya. - Sinar Harian