PENDANG: Kerajaan Kedah telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Persekutuan untuk terlibat dalam perancangan pembukaan semula sempadan negara.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata ini kerana Kedah mempunyai pintu sempadan Malaysia-Thailand melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan ICQS Durian Burung dekat Padang Terap.

"Keputusan tentang pembukaan sempadan ini adalah di peringkat kerajaan Persekutuan tetapi kita minta juga untuk terlibat sama kerana Kedah juga ada sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Tapak Program Model Pengurusan Estet Padi (EMM) 2.0 yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Kampung Asam Jawa di sini pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan Thailand merancang membuka semula sempadan Thailand-Malaysia pada Mac depan untuk meningkatkan ketibaan pelancong memandangkan pelancong Malaysia adalah kumpulan terbesar yang mengunjungi negara itu sebelum pandemik COVID-19.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata setakat ini beliau difahamkan pembukaan sempadan itu akan mempunyai kaedah tertentu seperti pelaksanaan gelembung pelancongan di Langkawi.

"Saya difahamkan ada beberapa cadangan dan kaedah yang akan ditetapkan dalam pembukaan sempadan negara ini.

"Antaranya mereka tak boleh rentas sempadan begitu sahaja...tidak boleh menggunakan kenderaan persendirian, hanya pengangkutan tertentu dibenarkan, namun saya belum difahamkan secara terperinci," katanya.

-- BERNAMA