IPOH: Kedatangan pelancong domestik bermalam ke Perak meningkat kepada 10.4 juta sepanjang tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee.
Beliau berkata jumlah itu meningkat berbanding 10.2 juta pelancong domestik bermalam yang direkodkan pada 2024.
"Bagaimanapun, kedatangan pelancong antarabangsa mengalami penurunan lebih kurang 1.5 peratus pada tahun lepas.
"Antara punca kedatangan pelancong antarabangsa menurun adalah disebabkan kekurangan penerbangan bagi laluan Singapura-Ipoh selain krisis minyak global yang turut memberikan kesan kepada industri penerbangan," katanya.
Loh berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pantai Timur Fest 2026 anjuran Tourism Malaysia yang dirasmikan Ketua Pengarahnya Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, di sini semalam.
Sebelum ini, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata dari segi destinasi, Selangor kekal sebagai negeri paling banyak dikunjungi pelawat domestik pada tahun lepas dengan 36.4 juta pelawat, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 35.1 juta pelawat dan Perak berjumlah 23.6 juta pelawat.
Sementara itu, Mohd Amirul Rizal dalam ucapan perasmiannya berkata Ipoh dipilih sebagai tuan rumah Pantai Timur Fest 2026 kerana kedudukannya yang strategik sebagai antara destinasi pelancongan utama negara.
"Pemilihan Ipoh juga membolehkan keunikan Kelantan, Terengganu dan Pahang diperkenalkan kepada khalayak yang lebih luas, khususnya pengunjung dari wilayah utara, tengah dan selatan Semenanjung Malaysia," katanya.
Pantai Timur Fest 2026 menghimpunkan 30 reruai pameran yang terdiri daripada pelbagai pengusaha industri pelancongan dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Penyertaan kali ini menampilkan agensi pelancongan, hotel, taman tema, pemilik produk pelancongan serta Online Travel Agent yang menawarkan pelbagai produk dan pengalaman pelancongan menarik kepada para pengunjung.
Selain pameran produk pelancongan, festival ini turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan kebudayaan, demonstrasi kraf tradisional, promosi makanan warisan, aktiviti interaktif serta pelbagai tawaran istimewa dan diskaun pakej pelancongan bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026.
-- BERNAMA