SHAH ALAM: Kedudukan Raja perlu ditentukan berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang, bukan semata-mata berdasarkan keputusan pilihan raya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada parti yang meletakkan tindakan menggulingkan Raja sebagai sebahagian daripada manifesto ketika meminta sokongan rakyat dalam pilihan raya negeri (PRN).
"Majlis Kerajaan Negeri bermesyuarat guling Raja, hak siapa? Oh, menang pilihan raya.
"Masa menang pilihan raya, ada kamu sebut dalam manifesto 'kalau kami menang, kami akan gulingkan Raja.' Tidak ada.
"Jadi orang bagi sokongan kepada kamu untuk pertahankan sistem Raja, tetapi kamu menang, kamu tolak Raja," katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis, pada Ahad.
Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, sistem Raja Berperlembagaan perlu dipertahankan berdasarkan Perlembagaan negeri dan undang-undang, bukannya ditentukan melalui keputusan politik atau parti.
Malah menurutnya, jika terdapat mana-mana pihak mempunyai pertikaian atau alasan untuk mencabar kedudukan Raja, perkara itu perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.
"Kalau ada (pertikaian) di sebaliknya, mulakan jalur undang-undang, bukan di media, bukan melalui parti.
"Bukan parti yang menentukan siapa Raja tetapi warisan, khazanah, budaya dan Perlembagaan dalam undang-undang," ujarnya.
Anwar dalam masa sama berkata, kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan sistem Raja-Raja Melayu dan memastikan perkara berkaitan institusi beraja tidak diputuskan sewenang-wenangnya atas kepentingan politik.
Ini kerana jelasnya, sistem Raja mempunyai peraturan dan kaedah tersendiri yang perlu dihormati, termasuk dalam soal menyatakan persetujuan atau bantahan.
"Sistem Raja itu ada peraturan dan kaedah-kaedah yang menyebabkan ia Raja, cara kita bicara, setuju atau membantah ada kaedahnya. Oleh itu kita pertahankan," katanya. - Sinar Harian