Sehari sebelum hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil N1 kuala Besut perang bendera dan poster telah pun bermula.

Calon-calon bertanding juga tidak membuang masa dengan mengadakan program untuk beramah mesra dengan pengundi.

Tinjauan Astro Awani khususnya di kawasan pekan Kuala Besut dipenuhi bendera calon-calon parti dari Barisan Nasional dan PAS.

Bagi calon Barisan Nasional, Tengku Zaihan Che Ku, peluang digunakan sebaiknya untuk turun padang melawat pengundi di kawasan Kuala Besut dan Pulau Perhentian.

Anak muda berkelahiran Kuala Besut berusia 37 tahun itu, tidak kekok beramah mesra dengan penduduk kampung.

Malah katanya strategi sama turun padang akan dilakukan sepanjang kempen pilihanraya kecil berkenaan.

"Pendekatan saya guna ini turun Padang dan mengenang kembali jasa arwah datuk rahman yang merupakan anak jati sepanjang khidmat bakti semasa jadi YB. Saya akan terus tingkatkan komitmen dan amanah arwah agar memberi kesejahteraan kepada masyarakat yang merupakan seperti keluarga saya ini." kata Tengku Zaihan yang juga merupakan seorang jurutera.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan bakti remaja di kampung nelayan Pulau Perhentian yang mempunyai sejumlah 734 pengundi.

Terdahulu calon muka baru itu juga melawat dan memberi sumbangan kepada pelajar di Dewan Kampung Baru, Kuala Besut.

Turut turun sama berkempen bekas adun kuala besut iaitu Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman (1979-1999) dan Abdullah Che Muda (2004-2008) yang turut memberi sokongan.

Wan Zakaria yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Besut berkata, Tengku Zaihan merupakan calon terbaik untuk mewakili pengundi di kuala Besut.

"Orang muda lebih bertenaga Dan boleh berkhidmat dengan lebih lama untuk 4-5 penggal. Tidak ada masalah. Lagipun, calon ini merupakan anak kepada uztaz dan daripada keluarga yang baik-baik, jadi dia amat disenangi ramai," kata beliau.

Tengku Zaihan bakal berdepan calon daripada PAS, Azlan Jusoh dalam Pilihan raya kecil Kuala Besut yang diadakan selepas wakil rakyatnya, Dr A. Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh mengundi untuk PRK Kuala Besut yang mempunyai 17 ribu 683 pengundi dan 12 Julai sebagai tarikh penamaan calon.