KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu untuk menangguhkan pembayaran RM67.46 juta berhubung kehilangan 43 barang kemas kepada syarikat barang kemas Global Royalty Trading SAL yang berpangkalan di Lubnan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Marianne Antoinette Ghani membenarkan permohonan itu sementara menunggu rayuan Rosmah di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Rosmah memasukkan jumlah berkenaan ke akaun bersama yang dipegang kedua-dua pihak dalam tempoh satu bulan dari tarikh keputusan.
Menurutnya, arahan itu bertujuan melindungi hak syarikat berkenaan sekiranya Rosmah gagal dalam rayuannya, selain memastikan wang tersebut kekal di Malaysia.
Beliau berkata, langkah itu juga membolehkan jumlah berkenaan dikembalikan kepada isteri bekas Perdana Menteri tersebut sekiranya rayuannya berjaya.
Pada 10 Jun lalu, Rosmah diperintahkan membayar RM67.46 juta kepada syarikat berkenaan selepas Mahkamah Tinggi memutuskan beliau bertanggungjawab terhadap kehilangan 43 barang kemas yang diterima secara konsainan pada 2018.
Hakim, Datuk Quay Chew Soon, mendapati wujud kes prima facie bahawa Rosmah cuai kerana gagal memulangkan barang kemas tersebut kepada pemiliknya, selain tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang amanah bagi memastikan keselamatannya.
Sehubungan itu, mahkamah membenarkan tuntutan Global Royalty dan mengarahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37, bersamaan AS$14.5 juta, dalam tempoh satu bulan dari tarikh keputusan tersebut.
Pada 29 Mac 2023, syarikat berkenaan memfailkan saman terhadap Rosmah dengan mendakwa beliau memberikan gambaran bahawa semua barang kemas terbabit, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, telah dirampas pihak berkuasa Malaysia di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Global Royalty mendakwa hanya satu daripada 44 barang kemas itu berada dalam simpanan polis, manakala baki 43 lagi tidak pernah direkodkan sebagai berada dalam jagaan pihak berkuasa.
Syarikat itu turut mendakwa Rosmah cuba meletakkan tanggungjawab kehilangan tersebut kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas berkenaan sebenarnya tidak dapat dikesan. - Sinar Harian
[BERITA LANJUT MENYUSUL]