Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan kejayaan taikun tersohor Robert Kuok sebagai seorang usahawan adalah satu cerita kejayaan Malaysia dan menjadi inspirasi kepada golongan usahawan untuk menempa kejayaan.

Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata, Najib mengambil contoh kejayaan pengasas Kuok Group tersebut dalam menjadi individu terkaya di Malaysia, sebagai seorang yang rajin, berdisiplin dan tekun bekerja mengecapi kejayaannya setelah mendapat peluang untuk memonopoli perniagaan beras dan gula daripada Kerajaan suatu ketika dahulu.

Menurut Tengku Sariffuddin, PM Najib menyambut baik kenyataan yang dibuat oleh 'Raja Gula Malaysia' tersebut dalam menghargai setiap peluang yang diberi kepadanya selain mengiktiraf sumbangan yang dibuat masyarakat Malaysia dalam pembangunan negara.

"Usaha baik Kuok dalam menghargai pemimpin Malaysia sepanjang hidup dan sanggup melakukan apa sahaja yang mampu untuk menyumbang kepada kesejahteraan rakyat negara ini," kata Tengku Sariffuddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

"Perdana Menteri menyatakan bahawa dasar-dasar Kerajaan merupakan kunci yang telah membuka peluang di dalam bidang pendidikan, perniagaan dan pekerjaan yang membolehkan individu mencapai kejayaan.

Menurut forbes.com/malaysia Kuok dicatatkan sebagai individu yang mempunyai aset kekayaan ketika dengan nilai AS$10 bilion (RM40.8 bilion).

Setakat ini, Kuok masih mengekalkan kedudukannya ketika kebanyakan aset individu lain di Malaysia mengalami penyusutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.