NATIONAL
Kekecohan Stadium Shah Alam: 'Rambo' antara 14 diburu polis

Individu bernama Tok Anjang, Shap Lekir dan Rambo, antara 14 penyokong bola sepak yang diburu polis. - Astro AWANI
Individu bernama Tok Anjang, Shap, Lekir dan Rambo, antara 14 penyokong bola sepak yang diburu polis bagi siasatan berhubung insiden kekecohan di Stadium Shah Alam ketika Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Assisten Komisioner Shafien Mamat memaklumkan, mereka dipercayai dalang atau perancang utama yang menimbulkan kekecohan ketika perlawanan berkenaan.
Mereka dipercayai pemimpin kumpulan penyokong Ultras Selangor.
"Pihak polis juga sedang memburu pemimpin Ultras Selangor yang dikenali sebagai Tok Anjang dan juga Shap.
"Kedua-dua mereka diminta tampil atau datang ke balai bagi kita dapatkan keterangan kerana dari keterangan yang kita peroleh, kedua-dua orang ini juga merupakan perancang utama dalam insiden yang lepas," jelas Shafien.
Pasukan sama turut menyiasat bagaimana dan siapa yang bertanggungjawab membawa masuk barang larangan seperti suar dan mercun ke dalam stadium.
Siasatan dijalankan dengan meneliti rakaman insiden yang diperoleh daripada pihak polis, media dan orang ramai.
Abdul Samah juga mengesahkan sehingga kini tidak menerima sebarang laporan daripada penyokong Arab Saudi berhubung kekasaran penyokong pasukan Harimau Malaya ketika kekecohan berlaku.
Pada Selasa, 11 penyokong bola sepak tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kekecohan berkenaan.
Mereka direman selama tiga hari mulai Rabu hingga Jumaat bagi membantu siasatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami