Skip to main content

Malaysia

Kekuatan PGU terbina daripada kerjasama seluruh warga pasukan - KPN

Mohd Khalid berkata, setiap anggota dan pegawai perlu mengikis sikap mementingkan diri dan menggantikannya dengan budaya saling membantu dan saling menyokong. - Gambar fail/ Bernama
Mohd Khalid berkata, setiap anggota dan pegawai perlu mengikis sikap mementingkan diri dan menggantikannya dengan budaya saling membantu dan saling menyokong. - Gambar fail/ Bernama
Advertisement

SUBANG: Kekuatan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak hanya bergantung pada juruterbang, tetapi turut disokong oleh kecekapan jurutera, juruteknik, pegawai operasi, kru penerbangan, pegawai pentadbiran serta seluruh anggota yang menyumbang kepada kelancaran operasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, walaupun pangkat dan jawatan menentukan bidang kuasa, nilai kemanusiaan, rasa hormat dan semangat persaudaraan harus sentiasa mengatasi perbezaan. 

Beliau berkata, setiap anggota dan pegawai perlu mengikis sikap mementingkan diri dan menggantikannya dengan budaya saling membantu dan saling menyokong.

Advertisement

"Semangat kerja berpasukan merupakan budaya yang wajib dihayati dan diamalkan. Kejayaan sesuatu misi tidak bergantung pada keupayaan seseorang individu semata-mata, sebaliknya memerlukan kesepaduan tindakan, kepercayaan antara satu sama lain, komunikasi yang berkesan, serta komitmen bersama yang jitu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Jelajah Wira MADANI Hari Keluarga Pasukan Gerakan Udara 2026, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Komander Pasukan Gerakan Udara, Datuk Noor Sham Md Jani.

Advertisement

Mohd Khalid berkata, institusi keluarga turut memainkan peranan menjadi pemangkin sumber kekuatan emosi dan motivasi kepada kecemerlangan anggota pasukan PGU yang menuntut kesiapsiagaan dan disiplin yang tinggi.

"Di sebalik setiap amanah yang digalas, adanya doa, sokongan dan pengertian daripada keluarga terhadap pengorbanan yang ditempuh. Hakikatnya, keluarga ialah sumber kekuatan emosi dan motivasi yang menjadi teras kecemerlangan seorang anggota pasukan," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, penganjuran program berkenaan merupakan satu platform pembangunan modal insan yang signifikan dalam memperkukuh keseimbangan antara tuntutan kerjaya yang mencabar dengan kesejahteraan institusi keluarga.

"Biarlah selepas program ini, kita kembali bertugas dengan semangat yang lebih tinggi, hubungan yang lebih akrab, dan tekad yang lebih kukuh untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pasukan dan negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement