Skip to main content

Malaysia

Kelab peminat P. Ramlee akur pandangan umum, tarik balik cadangan tukar nama ASWARA

51770691567_ASWARA.jpg
Keputusan dibuat selepas mengambil kira sentimen umum termasuk pandangan dalam kalangan alumni serta warga institusi berkenaan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kelab Peminat P. Ramlee Lembah Klang menarik balik cadangan menjenamakan semula Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kepada Universiti P. Ramlee (UPR) sebagai tanda menghormati pandangan pelbagai pihak.

Pengerusinya Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira sentimen umum termasuk pandangan dalam kalangan alumni serta warga institusi berkenaan.

Advertisement

"Kita hormati dan ambil kira pandangan umum... bukan mudah kita nak ubah tradisi sedia ada," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan hasrat Kelab Peminat P. Ramlee Lembah Klang menamakan ASWARA sebagai UPR, dengan cadangan itu dijangka dibawa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk perbincangan lanjut.

Bagaimanapun, perkara itu mencetuskan pelbagai reaksi termasuk bantahan daripada alumni serta warga ASWARA.

Wan Hashim berkata usaha mengangkat legasi seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam institusi pengajian tinggi masih boleh diteruskan melalui pendekatan alternatif antaranya penggunaan nama P. Ramlee di peringkat fakulti atau institut termasuk dalam bidang muzik, seni persembahan dan perfileman, selaras dengan amalan di luar negara.

"Sebagai contoh, The Pushkin State Russian Language Institute yang dinamakan sempena Alexander Pushkin, tokoh yang dianggap sebagai bapa sastera Rusia moden, pada asalnya bermula sebagai sebahagian daripada Moscow State University sebelum berkembang sebagai institusi pendidikan tinggi berasingan pada 1973.

"Kalau universiti swasta, barangkali tidak ada masalah sekiranya mahu menggunakan nama tokoh seni itu untuk keseluruhan institusi namun perlu mengkhusus dalam bidang seni persembahan," katanya.

Beliau berkata hasrat mengangkat legasi Allahyarham P. Ramlee tidak terpadam dan akan terus diperkukuh melalui penglibatan aktif Kelab Peminat P. Ramlee di dalam serta luar negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video