KUALA LUMPUR: Beberapa lagi negeri hari ini mengikuti langkah kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri untuk penjawat awam negeri masing-masing.

Di Kota Bharu, KELANTAN Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam persidangan media di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) di Kota Darulnaim mengumumkan pemberian BKK RM500 kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah di negeri berkenaan.

Beliau berkata bantuan itu akan diberikan sebelum Selasa depan, melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan RM5.3 juta.

"Selain itu bayaran penghargaan ini akan turut diterima pegawai lantikan politik termasuk ahli majlis, penghulu, penyelaras pembangunan armalah, guru pondok, guru al-Quran dan guru jahitan sebanyak RM250," katanya.

Di Alor Setar, KEDAH, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut mengumumkan pemberian BKK RM500 kepada 5,221 penjawat awam negeri yang akan dibayar pada hari Isnin, melibatkan implikasi kewangan kerajaan sebanyak RM2.61 juta.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri beliau berkata selain itu 2,335 pengerusi dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) pula akan menerima bantuan Aidilfitri sebanyak RM200 yang akan dibayar pada hari yang sama.

Beliau berkata bantuan itu melibatkan implikasi kewangan kerajaan negeri sebanyak RM467,000.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah akan diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon, Alor Setar pada 18 April.

Di Kangar, PERLIS pula Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata kerajaan negeri bersetuju memberikan bonus raya RM500 kepada penjawat awam negeri Gred 56 dan ke bawah, di samping RM250 untuk pesara kerajaan negeri, dengan pembayaran akan dibuat sebelum sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata pemberian turut dipanjangkan kepada kakitangan lantikan kontrak, yang keseluruhannya melibatkan peruntukan kewangan RM650,000.

"Mudah-mudahan dengan anugerah bonus ini akan meningkatkan lagi prestasi ekonomi peniaga yang berniaga di bazar Ramadan, (peniaga) kuih raya dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

Sementara itu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata lebih 6,000 penjawat awam di negeri ini menerima bantuan khas Aidilfitri RM500 yang akan dibayar pada Jumaat ini.

Beliau berkata bantuan tersebut bagi meringankan bebanan penjawat awam negeri termasuk staf badan berkanun serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam membuat persiapan perayaan itu nanti.

-- BERNAMA