Skip to main content

Malaysia

Kelantan kekalkan 51.79 peratus kawasan berhutan

PASIR MAS, 12 Mac -- Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud ditemui pemberita sempena Majlis Ihya Ramadan dan Penyerahan Dana Zakat Wakalah di Sekolah Menengah Ugama SMU (A) Tarbiah Diniah Meranti hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata kerajaan negeri turut melaksanakan program pemulihan hutan terosot dan penanaman semula pokok menerusi Kempen Penghijauan Malaysia. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KOTA BHARU: Kelantan mempunyai kawasan berhutan seluas 778,708.34 hektar atau 51.79 peratus daripada keluasan negeri.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata jumlah itu selaras dengan komitmen Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia, untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Kelantan melaksanakan beberapa strategi, termasuk mengenal pasti tanah kerajaan yang berpotensi untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

“Selain itu, pewartaan hutan perlindungan turut dilaksanakan mengikut kelas fungsi hutan di bawah Seksyen 10 (1) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) (Pindaan) (No.3) 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok), mengenai strategi Kelantan meningkatkan keluasan HSK pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata kerajaan negeri turut melaksanakan program pemulihan hutan terosot dan penanaman semula pokok menerusi Kempen Penghijauan Malaysia.

“Kerajaan negeri mengambil pendekatan seimbang bagi memastikan pemuliharaan HSK dan pembangunan ekonomi dilaksanakan secara mampan, iaitu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang.

“Perkembangan teknologi juga dimanfaatkan bagi memperkukuh pemantauan dan perlindungan HSK, termasuk mengesan perubahan kawasan hutan serta kemungkinan pencerobohan pada peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata maklumat berhubung perubahan atau pencerobohan hutan akan disahkan menerusi rondaan dan pemeriksaan di lapangan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement