MALAYSIA
Kelantan sasar kurangkan penagihan dadah 50 peratus menjelang 2030

ZAMAKHSHARI: Kita tidak mahu hanya mengawal gejala, tetapi mahu menyentuh punca masalah demi membina negeri yang lebih selamat dan bermaruah untuk generasi akan datang. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyasarkan pengurangan kadar penagihan dadah di negeri itu sebanyak 50 peratus menjelang 2030 melalui pelaksanaan jihad bersepadu di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Zamakhshari Muhammad berkata inisiatif itu akan diperluas selepas kejayaan projek rintis di Pasir Mas dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, penghulu dan imam masjid.
"Selain itu, kita akan berbincang dengan beberapa agensi lain bagi memperkasakan lagi jihad bersepadu memerangi dadah," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Town Hall Keselamatan dan Perpaduan Negara Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Muhammadi, di sini, malam tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kelantan menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan gejala itu dan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk membanteras masalah dadah dari akar umbi."Kita tidak mahu hanya mengawal gejala, tetapi mahu menyentuh punca masalah demi membina negeri yang lebih selamat dan bermaruah untuk generasi akan datang. Semua pihak perlu berganding bahu kerana masalah ini tidak mengenal warna parti politik, agama atau kaum," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami