KELANTAN United FC menunggu tiga lagi pemain untuk kebangkitan pasukan menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super 2023.

Ketua Jurulatih Kelantan United FC, Ailton Dos Santos Silva berkata, pemain-pemain ketika ini mengambil mudah sehingga tidak mencatat sebarang kemenangan termasuk perlawanan semalam apabila tewas 0-3 kepada Sabah.

Ailton berkata, beliau mengharapkan pemain-pemain baharu dapat mengisi bahagian pertahanan dan tengah pasukan.

“Saya percaya kepada gerak kerja individu dan tidak mustahil dengan kedatangan mereka akan dapat mengubah corak permainan.

“Dalam saingan liga, mereka perlu sentiasa memperbaiki permainan yang sudah memasuki pusingan kedua,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat aksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini malam tadi.

Mengulas permainan itu, Ailton menuntut anak buahnya supaya bersikap lebih serius ketika beraksi di padang.

“Masalah kami ialah pemain mengambil mudah perlawanan dan mengulangi kesilapan sedangkan di posisi, pemain sepatutnya memberi sepenuh tumpuan.

“Mereka membuat kesilapan mudah terutama di bahagian pertahanan sehingga dihukum dengan tiga gol,” ujar beliau. - Sinar Harian