BALIK PULAU: Seorang lelaki ditahan dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan membabitkan urusan kerja sambilan secara dalam talian sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM38,723.50 baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki tempatan berusia 54 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di Pendang, Kedah semalam.

"Pihak polis menerima laporan daripada mangsa di Bayan Lepas yang terperdaya dengan sindiket penipuan dalam urusan kerja sambilan secara dalam talian.

"Mangsa telah membuat beberapa transaksi ke akaun bank secara dalam talian dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM38,723.50," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan iaitu tipu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Kamarul Rizal berkata pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun bersama 30 bungkusan berisi cecair air ketum di hadapan sebuah apartment kawasan Lebuh Sungai Ara, Bayan Lepas, di sini pada Selasa.

Katanya polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah telah menahan lelaki itu selepas mendapati dia dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu.

"Pemeriksaan ke atas lelaki itu menemukan 30 bungkusan air ketum dan dipercayai suspek menjualnya kepada pelangan tetapnya di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata lelaki itu direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

-- BERNAMA