KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama bagi individu yang telah menerima vaksin lengkap tidak lama lagi, menjadi khabar gembira buat rakyat Malaysia.

Justeru, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyarankan kepada semua ahlinya untuk memastikan pekerja lengkap divaksin dan melepasi tempoh matang mengikut jenis vaksin yang ditetapkan, sebelum dibenar bekerja.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun turut memaklumkan, setiap pengunjung dan pekerja sektor pelancongan perlu mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagi kakitangan di premis hotel dan inap desa, ia sudah tentu menjadi berita yang amat gembira bagi mereka untuk kembali membuka perniagaan.

“Dengan pembukaan semula industri pelancongan domestik ianya disifatkan penting untuk mengimbangi semula kesemua kerugian serta dapat meningkatkan pendapatan masyarakat tempatan dalam bidang terbabit,” jelasnya. 

BACA: Pelancongan dalam negeri dibenarkan di negeri Fasa 2 dan seterusnya bagi individu lengkap divaksin - PM 

BACA: Individu lengkap divaksin di negeri Fasa Dua dan seterusnya dibenar 'dine-in' - Muhyiddin 

Khalid pada masa berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) yang telah berusaha memastikan semua pihak dalam sektor pelancongan supaya diberikan vaksinasi dengan segera sebagai persediaan pembukaan semula industri pelancongan domestik.

Terdahulu, kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama bagi individu yang telah menerima vaksin lengkap di negeri-negeri dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata aktiviti pelancongan tersebut melibatkan penetapan di homestay dan juga hotel.


Aktiviti pelancongan dalam negeri dibenarkan bagi negeri Fasa 2 PPN