Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Kerajaan perluas perlindungan bil elektrik kepada 800 kWj sehingga akhir tahun - PM

Mesyuarat Kementerian Kewangan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan subsidi itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperluaskan perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800 kilowatt jam (kWj) sebulan, berbanding had 600 kWj sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan subsidi itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026.

“Langkah ini diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat saat ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Melalui langkah berkenaan, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan menikmati pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menurut Anwar, keadaan jerebu dan cuaca lebih panas mutakhir ini mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah.

Keadaan itu menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj, sekali gus mencetuskan kenaikan bil yang luar biasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga kerana membolehkan langkah itu dilaksanakan segera.

“Kerajaan MADANI akan terus memantau rapi perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa,” katanya lagi.

Pemantauan itu bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira kemampuan rakyat, keterjaminan bekalan elektrik dan kemampanan sektor tenaga negara.

Sebelum itu Perdana Menteri menghadiri mesyuarat Inisiatif Menangani Kenail Bil ELektrik Pengguna Domestik di Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Kewangan II serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Must Watch Video

Advertisement