KUALA LUMPUR: Sarong berwarna-warni, kopi tarik dan ragam rakyat Malaysia menceriakan Keretapi Sarong 2026, sekali gus menjadi pentas buat Kopi Wonda menghidupkan kempen “Kita Tarik Bersama” bersama rakyat Malaysia sempena sambutan Merdeka dan Hari Malaysia.
Menerusi kempen Merdeka dan Hari Malaysia tahun ini, Kopi WONDA mengetengahkan kisah sebenar GeramBeat, empat wanita dari Sabah yang disatukan oleh minat terhadap sukan tarik tali sehingga berjaya meraih pingat emas dalam acara demonstrasi tarik tali di Sukan SEA 2025.
Kisah yang mungkin masih belum diketahui ramai itu dibawa Kopi WONDA kepada lebih ramai rakyat Malaysia sebagai cerminan semangat di sebalik “Kita Tarik Bersama” tentang setiap individu mungkin mempunyai latar dan kekuatan berbeza, namun mampu mencapai lebih banyak apabila bergerak bersama ke arah matlamat yang sama.
Menurut Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Amy Gan, Keretapi Sarong merupakan platform yang sesuai untuk Kopi WONDA kerana ia menghimpunkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang dan budaya dalam satu sambutan bersama.
“Wonda telah menjadi jenama kopi kegemaran rakyat Malaysia selama 13 tahun dan varian terlaris sebenarnya ialah Wonda Kopi Tarik.
“Ia merupakan kopi gaya Malaysia dan dalam segmen ini, kami adalah peneraju pasaran. Selama lebih lima tahun, sejak COVID-19, kami telah menyambut Merdeka dan Hari Malaysia.
“Jadi, Keretapi Sarong sememangnya sesuai. Seperti yang anda lihat, tenaga daripada orang ramai di sini. Sebagai rakyat Malaysia, saya bangga melihat semua meluangkan masa dan berusaha memakai pelbagai pakaian Malaysia,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada acara Keretapi Sarong 2026, di sini, pada Rabu.
Konsep “tarik” dalam kempen berkenaan menghubungkan dua elemen yang dekat dengan budaya tempatan iaitu kopi tarik dan permainan tarik tali dengan kedua-duanya mengetengahkan usaha yang dilakukan secara bersama.
Namun, kaitannya bukan sekadar pada perkataan “tarik”. Dalam sukan tarik tali, setiap individu mempunyai peranan dan kekuatan tersendiri, tetapi kemenangan hanya dapat dicapai apabila seluruh pasukan bergerak dan menarik bersama.
Semangat itulah yang dilihat Kopi WONDA dalam perjalanan GeramBeat.
Empat wanita daripada latar kehidupan dan tanggungjawab berbeza itu disatukan oleh satu minat yang sama, sebelum perjalanan mereka membawa GeramBeat dari Sabah hingga ke pentas Sukan SEA di Thailand.
Apa yang menjadikan kisah mereka istimewa bukan sekadar kemenangan, tetapi kepercayaan, keazaman dan semangat berpasukan yang membawa mereka ke tahap tersebut sekali gus menjadi nilai penting yang turut menjadi teras kepada “Kita Tarik Bersama”.
Mengulas mengenai GeramBeat, Amy berkata, kekuatan GeramBeat bukan sahaja terletak pada pencapaian mereka sebagai atlet, tetapi juga pada latar kehidupan yang berbeza, termasuk pekerjaan dan tanggungjawab masing-masing yang tidak memadamkan semangat mereka untuk berganding tenaga sehingga mencapai kejayaan di pentas Sukan SEA.
“Tahun ini, kami menemui GeramBeat, wanita-wanita hebat dalam pasukan tarik tali ini.
“Apa yang menjadikan mereka lebih hebat, selain kejayaan sebagai atlet ialah mereka datang daripada pekerjaan yang berbeza. Ada yang bekerja di syarikat pengangkutan, ada petani dan ada ibu
“Tetapi mereka berjaya. Mereka memastikan mereka terus menarik sehingga menang,” jelasnya.
Semangat “Kita Tarik Bersama” kemudiannya dibawa Kopi WONDA daripada kempen ke pengalaman sebenar menerusi penglibatannya di Keretapi Sarong 2026.
Sepanjang acara, pengunjung berpeluang menikmati Kopi WONDA serta menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan pengalaman yang meraikan semangat kebersamaan.
Dalam suasana Hari Malaysia yang menghimpunkan rakyat daripada pelbagai latar, budaya dan generasi, Keretapi Sarong menjadi gambaran sebenar mesej yang ingin dibawa Kopi WONDA - kita mungkin berbeza, tetapi apabila kita tarik bersama, kita boleh pergi lebih jauh.