KUALA LUMPUR: Penggiat seni kreatif boleh menarik nafas lega selepas kerajaan memberi kelonggaran beroperasi kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan sektor industri kreatif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan memaklumkan, kelonggaran yang diberikan kepada individu yang telah lengkap divaksin itu akan mula berkuat kuasa Khamis ini (9 September).

"Kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif, yang diharapkan dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, aktiviti yang dibenarkan adalah pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.

"Siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan turut dibenarkan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio," katanya.

Beliau berkata, penggambaran di dalam dan luar studio turut dibenarkan kepada individu yang telah lengkap suntikan vaksin.

"Persembahan hiburan jalanan dalam bangunan (indoor busking) dan persembahan di lounge hotel turut dibenarkan," katanya.

Ismail Sabri berkata, aktiviti panggung wayang turut dibuka kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam.