KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan memberi tumpuan kepada pembangunan skrip dan penghasilan filem secara bersama untuk meningkatkan industri kreatif Malaysia.

Pengerusi Finas Datuk Kamil Othman berkata RM90 juta yang diperuntukkan bagi industri kreatif dalam Belanjawan 2024 adalah memadai ke arah merealisasikan dua fokus agensi itu untuk menambah baik industri perfileman Malaysia yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

"Kedua-dua fokus ini mungkin menjadi kunci kepada beberapa perkara yang kita cuba capai dalam negara. Seperti kebanyakan filem Malaysia, hanya berjaya bertahan tiga atau empat hari di pawagam.

"Teori peribadi saya mungkin rakyat Malaysia suka melihat filem Malaysia berjaya di luar (negara) dahulu sebelum ia (filem Malaysia) ditayangkan di negara ini. Satu daripada penyelesaiannya adalah pembikinan filem secara bersama kerana kebanyakan daripada mereka (rakyat Malaysia) suka menyaksikan bakat dan bintang dari luar," katanya pada program Belanjawan 2024 di Bernama TV hari ini.

Tambahan pula, beliau berkata dengan peruntukan itu, Finas dapat menghasilkan filem yang berupaya menjana tiga atau empat kali nilai ekonomi untuk negara ini.

"Sekiranya anda melihat negara lain, industri kreatif mereka termasuk seni bina, reka bentuk dan fesyen. Tetapi di Malaysia, industri kreatif adalah mengenai televisyen, muzik dan filem. Saya rasa apa yang ada dalam belanjawan sudah memadai. Tetapi adalah menjadi tugas kami untuk memperlihatkan kepada kerajaan dengan jumlah itu, kami sebenarnya boleh mewujudkan mungkin tiga atau empat kali ganda nilai ekonomi," katanya.

Sementara itu, Kamil berkata dengan peruntukan itu, beliau juga mahu meningkatkan pemasaran dan promosi filem tempatan kepada penonton antarabangsa.

"Pandangan peribadi saya, kita boleh memasarkan filem tempatan ke luar Malaysia. Saya percaya terdapat beberapa negara lain yang bersedia untuk mengambil kandungan kami," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat, berkata sejumlah RM160 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi manfaat industri seni dan kreatif tempatan untuk memastikan bakat kreatif tempatan terus disokong, seterusnya menggalakkan penghasilan lebih banyak produk seni di Malaysia.

Daripada jumlah itu, RM90 juta diperuntukkan di bawah Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) untuk terus menggalakkan penerbitan filem bertaraf antarabangsa.

-- BERNAMA