Skip to main content

Malaysia

Keluarga Altantuya tuntut siasatan afidavit Azilah, pendengaran 6 Oktober ini

71768946918_kesaltantuya.jpg
Pendengaran permohonan semakan kehakiman oleh keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu ditetapkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Oktober depan. -Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan semakan kehakiman oleh keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu supaya polis menyiasat afidavit tambahan dan akuan bersumpah bekas pegawai polis yang terbabit dalam kes pembunuhan model Mongolia itu, ditetapkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Oktober depan.

Peguam, Sangeet Kaur yang mewakili bapa model itu, Dr Shaariibuu Setev ketika dihubungi media berkata, kes berkenaan dijadualkan untuk prosiding pendengaran di hadapan Hakim, Norliza Othman.

Pada prosiding berkenaan, Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Muhairi Mohamed Noh.

Pada 16 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan Shaariibuu memulakan prosiding semakan kehakiman agar polis menyiasat afidavit tambahan dan akuan bersumpah bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri yang terbabit dalam kes berkenaan.

Pada 25 Ogos 2025, keluarga Altantuya memfailkan permohonan untuk mendapatkan deklarasi bahawa keputusan semua responden yang tidak memberitahu status siasatan terkini yang dijalankan pada 2019 oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman terhadap kandungan afidavit tambahan dan akuan bersumpah diikrarkan Azilah, bertentangan dengan undang-undang.

Afidavit tambahan bertarikh 24 September 2024 dan akuan bersumpah bertarikh 17 Oktober 2019 itu digunakan oleh bekas pegawai polis tersebut bagi menyokong permohonan semakan hukuman mati terhadapnya di Mahkamah Persekutuan pada 10 Oktober 2024.

Kedua-dua dokumen antara lain mengandungi pernyataan Azilah bahawa dia mendapat arahan daripada ‘pihak atasan’ untuk menjalankan ‘operasi sulit’ bagi 'membunuh dan menghapuskan si mati'.

Shaariibuu selaku pemohon berkata, sekiranya siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah itu masih berjalan, beliau memohon perintah mandamus agar siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah.

Turut dimohon perintah mandamus agar kesemua responden memaklumkan secara terperinci status terkini siasatan yang dijalankan oleh responden kedua (Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman) terhadap kandungan kedua-dua dokumen dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah.

Shaariibuu berkata, jika kesemua responden memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan sebagai 'Tiada Tindakan Lanjut,' beliau mahukan alasan tindakan itu diambil.

Model Mongolia, Altantuya ditemui mati dibunuh dan mayatnya diletupkan berdekatan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor pada 2006.

Wanita itu dilaporkan berperanan sebagai penterjemah proses rundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis kepada kerajaan Malaysia.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap Azilah dan seorang lagi bekas anggota polis, Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi keesokannya.

Sementara penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan terbabit.

Bagaimanapun pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan di Putrajaya melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan membunuh itu.

Sirul berada di Australia selepas dibebaskan dan tidak pulang ke negara ini sewaktu rayuan akhir pendakwaan didengar di Mahkamah Persekutuan.

Pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengetepikan keputusan membebaskan mereka.

Pada 10 Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadap Azilah dengan pemenjaraan selama 40 tahun dan 12 sebatan. -Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement