KUALA LUMPUR: Keluarga terlibat dalam kebakaran tiga rumah di Kampung Simpang Tiga, Gombak yang meragut nyawa dua beradik awal pagi semalam menerima bantuan awal sebanyak RM1,000.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata sumbangan itu disalurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Gombak serta Pejabat Tanah dan Daerah Gombak yang masing-masing memberi RM500 kepada setiap keluarga yang terjejas.

Beliau berkata RM500 tambahan juga diberikan kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga dalam insiden itu.

"Sumbangan yang diberikan ini adalah bantuan awal kepada keluarga yang terjejas dan kerajaan negeri akan mengikuti langkah seterusnya yang diambil selepas laporan bomba diterima," katanya kepada pemberita selepas melawat tiga keluarga mangsa kebakaran itu malam tadi.

Semalam, dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Kampung Simpang Tiga. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan pada 3.54 pagi.

Mangsa ditemukan rentung di sebuah bilik dan dipercayai terperangkap ketika kejadian berdasarkan keadaan mayat.

Dua kanak-kanak yang maut itu dikenali sebagai Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 9, dan adik lelakinya, Muhammad Al Qayyum berusia enam tahun.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan malam tadi pula berkata pihaknya telah menyalurkan bantuan awal dalam bentuk sumbangan barangan keperluan bencana kepada kesemua mangsa yang terlibat.

"Kejadian kebakaran ini melibatkan tiga rumah membabitkan lapan mangsa dan kita juga dalam proses mengenal pasti bantuan bersesuaian untuk diberikan kepada mangsa-mangsa terlibat.

"Pusat pemindahan sementara telah dibuka di Balai Raya Kampung Simpang Tiga, Gombak dan berdasarkan maklumat awal, kejadian ini berpunca daripada litar pintas," katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa dan penjaga agar sentiasa menjaga, mengawasi serta tidak mengabaikan anak-anak manakala jiran tetangga serta komuniti setempat perlu melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sekiranya terdapat kes kanak-kanak yang ditinggalkan tanpa pengawasan dan diabaikan.

-- BERNAMA