KUALA LUMPUR: Kem Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) Bukit Keteri, Perlis menjadi lokasi baharu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bagi Siri 3 2026 yang dijadual pada 11 Julai hingga 24 Ogos ini.
Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penambahan itu menjadikan PLKN 3.0 melibatkan tiga lokasi utama tahun ini termasuk Kem Rejimen 515 AW di ibu negara dan Kem Rejimen 505 AW di Pekan, Pahang.
Menurut JLKN, bakal pelatih kelahiran 2008 boleh membuat semakan melalui sistem ePLKN 3.0 bermula 3 petang ini.
"Bagi memastikan kelancaran pendaftaran dan pentadbiran, pelatih yang terpilih perlu membuat pengesahan kehadiran menerusi sistem ePLKN 3.0 selewat-lewatnya pada 19 Jun bagi tarikh akhir tawaran.
"Kehadiran pelatih yang terpilih adalah diwajibkan. Kegagalan melapor diri tanpa alasan munasabah boleh dianggap sebagai ingkar arahan dan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara," menurut kenyataan itu.
Mengenai Kem Bukit Keteri, JLKN memaklumkan kem berkenaan dijangka siap sepenuhnya tahun ini dan mampu menampung hampir 500 pelatih pada satu-satu masa, namun bagi sesi akan datang hanya menyediakan 120 tempat bagi pelatih wanita.
“Kemudahan di kem ini turut ditambah baik dengan konsep fasiliti moden yang merangkumi blok penginapan, infrastruktur asas dan kemudahan latihan yang selesa bagi memperkasa PLKN 3.0 sebagai platform pembangunan jati diri serta patriotisme golongan belia,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu bagi siri latihan PLKN 3.0 seterusnya, JLKN akan membuat pengumuman secara berperingkat dan bakal pelatih diingatkan supaya sentiasa peka terhadap hebahan rasmi serta membuat semakan melalui sistem ePLKN 3.0 secara berkala.
-- BERNAMA