Kemalangan bas, lori: Seorang penumpang maut, sembilan lagi parah

Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu bas yang berada di lorong kanan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan, menyebabkan bas berkenaan melintang di tengah lebuh raya. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR : Seorang penumpang bas maut ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor, selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas, lori dan motosikal di Kilometer 1.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Rawang, pagi Ahad.
Pemandu lori, penunggang motosikal serta tujuh penumpang bas mengalami kecederaan parah dan kini sedang dirawat di hospital yang sama.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 7.45 pagi, namun siasatan mendapati kemalangan berkenaan berlaku sekitar pukul 5.45 pagi.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu bas yang berada di lorong kanan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan, menyebabkan bas berkenaan melintang di tengah lebuh raya.
"Sebuah lori dan motosikal yang datang dari arah sama kemudian melanggar bahagian kiri bas tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Bagaimanapun, kata Noor Ariffin, pemandu bas selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan tiba di lokasi kejadian pada jam 5.51 pagi.
Ketika pasukan bomba tiba, lima mangsa didapati tersepit, terdiri daripada empat penumpang bas dan pemandu lori.
Bas berkenaan membawa 40 penumpang serta dua pemandu ketika kejadian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


