MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: 'Syukur cucu selamat walaupun tercampak dalam longkang'

Norlian bersyukur apabila anak, menantu dan cucunya selamat dalam nahas yang membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI di Gerik pada Isnin. -Sinar Harian
BALING: Ibu kepada pemandu Perodua Alza yang terbabit dalam nahas tragis bersama sebuah bas di Gerik menzahirkan kesyukuran apabila anak dan menantu selamat dalam kemalangan termasuk cucunya biarpun dilaporkan tercampak ke dalam longkang.
Ringkasan AI
- Norlian, ibu kepada pemandu Perodua Alza yang terlibat dalam nahas bas UPSI di Gerik, bersyukur anak, menantu dan dua cucunya selamat, walaupun salah seorang cucu tercampak ke dalam longkang.
- Cucu lelaki berusia dua tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala cucu perempuan berusia enam tahun dan ibunya masih dirawat akibat patah paha dan tulang rusuk.
- Norlian hanya mengetahui kejadian itu selepas anaknya menghubungi sekitar jam 8 pagi, dan menyatakan rasa lega kerana cucunya tidak terjatuh ke dalam gaung berhampiran.
"Tanya juga cucu macam mana boleh jatuh dalam longkang, (jawab Mohd Lutfi) tak tahu, tengok-tengok dah menangis dalam longkang," jelasnya.
Menurut Norlian, Mohd Lutfi ada menzahirkan kelegaan dan bernasib baik kerana Muhammad Ahsan Nafis jatuh ke dalam longkang bukannya ke dalam gaung berdekatan.
“Dia kata nasib baik jatuh di situ, kalau jatuh gaung, entah nak cari di mana,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, dia masih belum sempat bertemu seorang lagi cucu, Nur Aisyah Nafishah, 6, yang patah paha kanan, serta menantu, Nurul Ain Zakaria, 36, yang mengalami patah tulang rusuk sebelah kiri.
"Semalam tak boleh jumpa sebab masa pergi melawat mereka masih di kecemasan, namun sempat la bercakap melalui panggilan telefon.
"Dapat dengar suara cucu (Nur Aisyah Nafishah) lega...tanya sakit tak, dia kata tak sakit dah kaki dia," jelasnya.
Norlian berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu sekitar jam 8 pagi selepas Mohd Lutfi menghubunginya.
“Dia tak beritahu masa kejadian... bila semua dah reda baru telefon dan bagitahu. Dia pesan jangan terkejut... memang berdebar masa dengar,” katanya.
Dalam nahas kira-kira jam 1 pagi itu, kenderaan dipandu Mohd Lutfi bersama isteri dan dua anak terbabit kemalangan dengan bas yang membawa pelajar UPSI hingga meragut 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran Tasik Banding.
Mohd Lutfi dan Muhammad Ahsan Nafis sudah dibenarkan pulang kerana hanya mengalami cedera ringan manakala Nurul Ain dan Nur Aisyah Nafishah masih dirawat di Hospital Baling. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami