KLUANG: Seorang lagi penumpang Produa Myvi maut, menjadikan jumlah penumpang kereta itu yang maut enam orang termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 71, Jalan Batu Pahat - Mersing, petang tadi.

Mangsa yang maut ialah penumpang hadapan Perodua Myvi, Siti Nurzannah Kahdar, 25.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh berkata mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon merah, Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

"Produa Myvi yang dinaiki lapan individu dari arah Kluang ke Kahang telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan berlanggar dengan Honda Stream yang dinaiki tiga sekeluarga, sebelum Myvi terbabit terbalik dan jatuh ke kawasan lapang di bahu jalan.

"Akibat kemalangan itu, lima penumpang Myvi maut di lokasi kejadian. Lima yang maut mengalami kecederaan di bahagian tengkuk.

"Sewaktu kemalangan, keadaan jalan basah dan licin selepas hujan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Bahrain, pemandu Myvi yang berusia 24 tahun yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan tangan sebelah kiri, masih dirawat di zon kuning, hospital sama.

Katanya tiga sekeluarga yang menaiki Honda Stream turut dirawat di hospital sama dengan masing-masing di zon merah dan zon kuning.

"Myvi terbabit mengalami kerosakan teruk di bahagian kiri, belakang dan atas. Manakala Honda Stream mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.