IPOH: Bagai tidak terucap melalui kata-kata tatkala seorang ibu mendapat tahu mangsa insiden kemalangan maut di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang diketahuinya melalui kumpulan WhatsApp, merupakan anak dan cucunya sendiri.

Nor Asikin Ahmad, 50, berkata perkhabaran duka itu diterimanya sekitar tengah hari melalui mesej daripada kumpulan WhatsApp penduduk Taman Jerai Indah Emas di Gurun, Kedah.

“Saya dapat tahu berita itu sekitar jam 1 tengah hari, itu daripada salah seorang daripada kumpulan WhatsApp penduduk.

“Dia beritahu bahawa dia ada rakan pemandu lori yang kebetulan berada di tempat kejadian. Dalam mesej itu turut disertakan gambar kad pengenalan anak saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dekat sini, pada Selasa.

Nor Asikin memberitahu Norsyahira yang mesra dipanggil ‘Ira’ telah tinggal bersamanya di Taman Jerai Indah Emas sejak tahun lepas selepas mengalami alahan teruk sepanjang hamil anak sulung.

Katanya Norsyahira mendirikan rumah tangga bersama Amyroul Shah Huszaiery Yusri, 23 pada Mac tahun lalu.

Ujar Nor Asikin, kali dia terakhir berhubung dengan anak kedua daripada empat adik-beradik itu ialah sekitar tengah hari tadi.

Tambahnya, Norsyahira sebelum itu bertolak dari Gurun ke Ipoh pada Ahad untuk bercuti bersama suami dan anak sebelum mereka sekeluarga ke Cameron Highlands, Pahang pada pagi Selasa.

“Sekitar jam 12 tengah hari tadi, Ira ada beritahu saya yang dia sudah dalam perjalanan pulang dan ada membelikan buah tangan untuk saya iaitu strawberi dan jagung.

“Namun selang beberapa minit selepas itu saya dapati mesej saya di WhatsApp kepadanya tidak dibalas,” katanya dengan nada sebak.

Nor Asikin berkata antara kenangan terakhir bersama arwah apabila semua ahli mengadakan majlis perjumpaan pada Jumaat selain ada membelikan lauk-pauk tengah hari kepadanya sebelum bertolak ke Ipoh pada Ahad.

Katanya walaupun reda dengan ketentuan Ilahi, namun perasaan sedih tidak dapat dibendung kerana seakan tidak percaya akan kejadian sedih menimpa anak dan cucu kesayangannya.

"Amat terasa kehilangan mereka berdua kerana Ira berpantang di rumah, saya menjaga mereka. Apa pun saya kena reda dengan takdir ini," ujarnya.

Nor Asikin Ahmad tidak dapat menahan sebak apabila teringat akan kejadian sedih menimpa anak dan cucu kesayangannya.

Jenazah dua beranak itu akan dibawa pulang ke kampung halaman serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Badak, Gurun selepas selesai proses bedah siasat di HRPB.

Kemalangan di Kilometer 34, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini petang Selasa telah meragut nyawa Norsyahira Mohd Fadhail, 23, dan Muhammad Rayyan Nauffal Amyroul Shah Huszaiery, 3. 

Sementara suami, Amyroul Shah Huszaiery dilaporkan cedera parah dan sedang dirawat di HRPB dekat sini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, nahas membabitkan kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki tiga sekeluarga dan Mercedes-Benz yang dipandu lelaki berusia 25 tahun.

"Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki mangsa dari arah Cameron Highlands telah bertembung dengan kereta mewah terbabit semasa melalui laluan berselekoh.

"Pemandu kereta berusia 23 tahun mengalami kecederaan parah manakala penumpang dan bayi berusia tiga bulan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurut Mohd Yusri, seorang lagi pemandu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 016-4173222 bagi membantu siasatan.