KUALA LUMPUR: Pemilihan kemasukan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ke universiti awam (UA) adalah berdasarkan prinsip meritokrasi dengan mengambil kira 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus pencapaian kokurikulum.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, pemilihan bagi calon kategori Diploma dan sijil setaraf pula adalah berdasarkan 100 peratus pencapaian akademik.

"Berdasarkan prinsip meritokrasi tersebut, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberikan peluang untuk mengikuti pengajian di Universiti Awam.

"Kejayaan calon untuk memperoleh tawaran bergantung kepada susunan merit, memenuhi Syarat Am dan Syarat Khas program pengajian, diperaku temu duga atau ujian bagi program yang menetapkan syarat yang demikian, kekosongan tempat dan keutamaan pilihan program pengajian di UA yang telah dipohon," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Pada Khamis, KPT mengumumkan pelajar lepasan STPM dan sijil setaraf boleh menyemak keputusan permohonan ke universiti awam (UA) bagi sesi akademik 2023/2024.

Sementara itu, KPT berkata, sebanyak 1,098 program pengajian sarjana muda telah ditawarkan bagi sesi kali ini.

"Terdapat 89,102 tempat disediakan kepada calon lepasan STPM dan sijil setaraf di 20 universiti awam yang melibatkan 72,772 tempat melalui UPUOnline.

"Manakala, 16,330 tempat lagi disediakan kepada calon feeder melalui saluran universiti awam masing-masing.

Dalam pada itu, KPT memaklumkan jumlah permohonan UPUOnline yang diterima bagi Lepasan STPM dan sijil setaraf adalah sebanyak 118,143 calon dengan 70,156 calon telah berjaya memperolehi tawaran.

Katanya, sejumlah 24,846 calon lelaki dan 45,310 calon perempuan telah berjaya ditawarkan tempat.

"Kadar kejayaan lelaki adalah 73.94 peratus berbanding perempuan 73.49 peratus.

"Tawaran Laluan Khas secara keseluruhan adalah sebanyak 36,365 dengan pecahan tawaran iaitu 35,892 calon kategori B40, 192 Orang Kurang Upaya (OKU), 181 Atlet dan 100 Orang Asli," katanya.

Selain itu menurut KPT, Peratus calon Bumiputera yang berjaya adalah sebanyak 72.69 peratus daripada keseluruhan calon Bumiputera yang layak.

"Manakala calon bukan Bumiputera yang berjaya adalah 78.70 peratus daripada keseluruhan calon bukan Bumiputera yang layak.

"Sejumlah 5,442 (84.11 peratus) daripada 6,470 tempat melibatkan 119 program pengajian dalam bidang Pendidikan & Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) telah dipenuhi oleh calon di empat Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

"Selain itu, sejumlah 36,463 (91.17 peratus) daripada 39,994 tempat melibatkan 673 program pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM) telah dipenuhi oleh calon di 20 Universiti Awam," katanya.