NATIONAL
Kematian Prebet Muqriz Aseri: Terlalu awal klasifikasi kes dera, biar polis siasat - Khaled Nordin

Mohamed Khaled berkata masih terlalu awal untuk mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes dera. -Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan memberi kerjasama penuh dan menyerahkan kepada polis berhubung siasatan kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri.
Ringkasan AI
- Kementerian Pertahanan akan bekerjasama penuh dengan polis dalam siasatan kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri di Kem Sri Miri.
- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyatakan masih terlalu awal untuk mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes dera.
- Jenazah Prebet Muhammad Muqriz Aseri telah dibawa ke Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan di Petaling Jaya.
"Kita percaya adalah wajar untuk kita siasat kejadian ini sehingga selesai dan barulah kita kongsikan semuanya. Jangan jump to conclusion. Tidak boleh kata ini kes dera.
"Pihak kami akan pastikan ia disiasat hingga selesai," katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Pengumuman Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Bagi Tahun Kewangan 2024 pada Khamis.
Kata Mohamed Khaled lagi, beliau berharap orang ramai tidak menyamakan kes kematian anggota TDM itu dengan kes kematian Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Semalam, media melaporkan kematian anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) di sebuah kem di Miri, Sarawak pada Isnin berpunca daripada hentakan kuat di bahagian dada.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia memaklumkan bahawa mangsa, Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21, meninggal dunia akibat kerosakan pada jantung susulan hentakan tersebut.
Menurut kenyataan itu, jenazah telah dibawa ke Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor pada jam 11.55 malam, Selasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami