KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan inkues susulan kes kematian anggotanya yang berpangkat Sarjan dengan kesan tiga das tembakan pada 19 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sedang mengemas kini dokumen berkaitan berhubung kejadian yang berlaku di Balai Polis Bayan Lepas itu.

"Insiden itu sangat mendukacitakan, daripada sudut siasatan kita ambil maklum bahawa kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 di Bukit Aman pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Acryl Sani memaklumkan, Polis Pulau Pinang juga telah menerima laporan patologi dan hasil bedah siasat terhadap mangsa.

"Kini mereka sedang menyediakan dokumen sepatutnya untuk buat (permohonan) inkues berhubung insiden itu bagi mengenal pasti apa punca kematian,” katanya lagi.

Tambah beliau, kejadian berkenaan merupakan insiden yang berlaku di luar jangka selain pihaknya menerima maklum balas mengenai mangsa yang mempunyai masalah keluarga.

"Saya dimaklumkan beliau menghadapi masalah keluarga dan telah pun diambil tindakan oleh Ketua Polis Daerah yang berkaitan," kata Acryl Sani.

Ujarnya, pihak polis juga akan cuba memperbaiki soal prosedur operasi standard (SOP) mengenai pengendalian senjata api sewaktu bertugas.

"Apa yang berlaku ini tentu sekali adalah perkara di luar kawalan, namun akan menambah baik SOP berkenaan bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku.

"Namun, atas sebab dan perkara yang tidak dapat dielakkan, insiden ini berlaku. Kita pun tidak tahu kenapa dia bertindak sedemikian,” ujarnya.

Sebelum ini, polis mengesahkan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam pada itu menyatakan kes berkenaan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

Mangsa yang dikenali sebagai Sarjan Jana Milie, 51 tahun ditemui meninggal dunia di balai berkenaan selain mempunyai kesan tembakan di dada, leher dan kepala.