PETALING JAYA: Sorakan dan semangat jelas terpancar apabila seramai 400 murid berhimpun di SJK (C) Yuk Chai, Petaling Jaya bagi menyertai pelancaran Astro Kem Badminton (AKB) 2026 yang membuka tirai kepada usaha berterusan mencungkil bakat muda dalam sukan badminton.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini bukan sekadar latihan di gelanggang, sebaliknya menjadi platform awal buat kanak-kanak untuk melangkah lebih jauh dalam dunia sukan.
Advertisement
Majlis pelancaran yang berlangsung pada Rabu lalu menerima sambutan memberangsangkan dengan para peserta menunjukkan keterujaan sepanjang sesi latihan dan aktiviti yang dijalankan.
Suasana turut dimeriahkan dengan kehadiran penyampai radio GOXUAN, Kryston yang berinteraksi bersama pelajar melalui sesi soal jawab selain menyertai cabaran menyeronokkan, sekali gus menghidupkan lagi suasana program.
Sejak diperkenalkan pada 2012, AKB telah melatih lebih daripada 23,000 kanak-kanak, mencerminkan komitmen berterusan dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam sukan tetapi juga memiliki jati diri yang kuat.
Klinik ini terbuka kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara 10 hingga 12 tahun dengan pendekatan latihan yang sama bagi memastikan setiap peserta mendapat peluang yang adil dan saksama.
Pengarah Komunikasi dan Kelestarian Astro, Foo Su Lynn berkata, penganjuran Astro Kem Badminton 2026 mencerminkan komitmen berterusan Astro dalam membangunkan bakat muda secara menyeluruh.
“Kami amat berbesar hati untuk terus bekerjasama bersama Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi Astro Kem Badminton 2026.
“Matlamat kami adalah untuk membentuk generasi muda Malaysia yang bukan sahaja cemerlang dalam sukan, malah kami ingin membina generasi yang berkembang sebagai individu yang beradab, berpengetahuan, berkemahiran, berdaya tahan dan yakin diri.
“Menerusi penglibatan jurulatih tempatan yang dilantik oleh KPM di setiap negeri, serta penerokaan lokasi baharu seperti Miri, kami berharap Astro Kem Badminton dapat memperluas jangkauan programnya ke seluruh negara,” katanya menerusi sebuah kenyataan.
Selepas Selangor, siri klinik latihan AKB 2026 akan diteruskan di empat negeri lain seperti berikut:
- Pulau Pinang (25–26 April) di Kompleks Sukan Relau
- Johor (2–3 Mei) di Kompleks Sukan Daiman Johor Jaya
- Sarawak (9–10 Mei) di Tung Sports, Miri
- Kuala Lumpur (15–17 Mei) di Arena Sukan Kuala Lumpur
Di setiap lokasi, peserta akan menjalani sesi latihan intensif yang dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman, merangkumi pembangunan kemahiran teknikal seperti pergerakan, koordinasi dan pemahaman permainan.
Selain itu, program ini turut memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah termasuk disiplin, daya tahan dan keyakinan diri, sebelum diakhiri dengan perlawanan persahabatan bagi membolehkan peserta mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari.
Peserta terbaik dari setiap negeri akan dipilih ke Kem Pemilihan AKB yang akan berlangsung selama lima hari di Kuala Lumpur pada Julai 2026 sebelum berpeluang menyertai Kem Latihan Serantau pada Disember 2026.
Kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun yang berminat boleh menyertai program ini dengan mendaftar melalui https://www.astro.com.my/astrokembadminton.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada Astro Kem Badminton 2026!