Kemelut politik Terengganu yang bermula selepas bekas Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan keluar dari UMNO disifatkan berpunca daripada masalah komunikasi semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia kini disifatkan selesai di atas semangat cintakan parti yang mengatasi segala-galanya.

‎"Memang tarikh kenduri kahwin anaknya (Ahmad Said) tidak dimaklumkan. Kami fikir kenduri 10 Mei selesai, kami tidak dimaklumkan ada satu lagi majlis pada 17 Mei.

"Ini semua masalah komunikasi. Semuanya sudah diatasi dan semua sudah memberi penjelasan. Sebenarnya Ahmad Said juga berkata dia terlalu cinta pada UMNO dan tidak dapat melupakan UMNO," katanya semasa sidang media selepas perasmian Auto Forum 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan akan menghadiri majlis perkahwinan anak Ahmad Said pada 17 Mei ini di Teluk Kalong, Kemaman.

Krisis politik Terengganu bermula selepas pelantikan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar yang baru dan menyebabkan Ahmad serta Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ajil, Ghazali Taib mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Najib turut menghargai semangat yang ditunjukkan Ahmad Said yang juga ADUN Kijal dan Ghazali.

``Terima kasih Ahmad Said, Ghazali dan Roslee Daud (ADUN Bukit Besi) di atas semangat yang mereka tunjukkan.

``Semangat parti mengatasi segalanya, perkara ini sebenarnya berlaku akibat sedikit salah faham dan dapat dileraikan dalam masa singkat,'' ujarnya.

Kata Najib lagi, disiplin ADUN membuktikan nilai tinggi UMNO sendiri selain menyifatkan ia kunci dalam kejayaan sesebuah parti.

Pada Rabu, 13 ADUN Terengganu mengadakan pertemuan susulan kemelut politik negeri itu bersama Najib selepas perbincangan pertama diadakan di kediaman peribadi Najib di Jalan Duta pada Selasa.

13 ADUN tersebut ialah Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang), Datuk Mohd. Jidin Shafee (Permaisuri), Rozi Mamat (Telemong), Rosli Othman (Kemasik), A. Latiff Awang (Pengkalan Berangan) dan Roslee Daud (Bukit Besi).

Turut sama, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih), Muhammad Pehimi Yusof (Jertih), Datuk Sabri Mohd. Noor (Langkap), Mohd. Mahdi Musa (Kota Putera), Bazlan Abd. Rahman (Batu Rakit), Mohd Iskandar Jaafar (Jabi) dan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (Besut).