Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensi-agensi di bawahnya akan mengadakan program komuniti di kawasan yang dikenal pasti terlibat dalam kes pedofil warga British, Richard Huckle.

Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata program itu akan dilakukan dengan kerjasama jabatan-jabatan berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah adakan perbincangan dengan agensi lain terutama PDRM dan setakat ini tiga kawasan terbabit telah dikenal pasti," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan bulanan kepada 30 penerima bantuan JKM di Daerah Sabak Bernam, di sini pada Rabu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan tiga kawasan berkenaan.

Azizah berkata pihaknya juga masih menunggu senarai identiti mangsa daripada pihak polis Britain.

BACA: 'Hormati hak asasi mangsa Richard Huckle' - Polis

Huckle, 30, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah Britain selepas mengaku salah atas 71 pertuduhan penderaan seksual ke atas kanak-kanak di Malaysia.

Dia dikehendaki menjalani hukuman minimum penjara 25 tahun.

Lelaki itu dilapor melakukan pelbagai kesalahan bersifat seksual ke atas 200 kanak-kanak Malaysia berusia antara enam bulan dan 12 tahun, dari 2006 hingga 2014.

Azizah dalam pada itu menasihatkan mana-mana pertubuhan kebajikan terutama yang menjaga kanak-kanak supaya melakukan tapisan lebih ketat ke atas rakyat asing yang ingin menjadi sukarelawan di tempat mereka bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang.

"Kita nak pastikan mereka yang datang ke negara kita bukan orang jahat yang akan merosakkan anak-anak kita," katanya.