Kesemua kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seharusnya menerajui inisiatif penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di agensi masing-masing supaya dapat memberi contoh kepada syarikat swasta lain.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil berharap Kementerian Kewangan dapat memantau penubuhan taska di GLC, manakala Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa pula menentukan kesemua kementerian menubuhkan taska masing-masing.

"Penubuhan taska di kementerian dan GLC pastinya dapat memudahkan ibu dan bapa yang berkerjaya untuk menguruskan anak-anak dengan lebih efektif dan berjaya.

"Ia juga akan dapat meningkatkan lagi indeks kesejahteraan keluarga di Malaysia dalam menjalani kehidupan keluarga yang sihat dan bahagia," katanya dalam satu kenyataan Ahad.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengumumkan langkah kerajaan untuk mengkaji prosedur pendaftaran taska bagi mempermudah dan mempercepat pendaftaran Taska baharu bagi memastikan lebih banyak Taska dibuka pada masa depan.

Najib turut mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada penyedia pusat pendidikan awal kanak-kanak bagi membuka Taska baharu yang berkualiti supaya semua kanak-kanak mendapat peluang membangun dengan kanak-kanak yang lebih bernasib baik.